MENCAPAI satu demi satu kejayaan menguntumkan semakin banyak bunga bahagia dalam hidup penyanyi genit bernama Ernie Zakri.
JIKA dibentangkan dalam bentuk resume, pencapaian wanita bersuara lantang itu dalam arena muzik sebenarnya sangat bersifat impresif.
Dua kali ditabalkan sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL), malah turut merajai Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23), itu bukan sembarangan pencapaian.
Karier ‘mendunia’
Terus melakar sejarah, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu seakan-akan tidak percaya apabila wajahnya sekali lagi menghiasi papan iklan digital gergasi di New York Times Square, Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua.
Ernie turut menjadi artis wanita tertinggi Malaysia yang berjaya meraih ‘Spotify Monthly Listeners’ lebih 5 juta pendengar.
Lebih mengagumkan apabila lagu hitsnya, Masing Masing turut berada di kedudukan tangga keempat dalam senarai Top 50 Indonesia di Spotify.
Berjaya meledak di Indonesia sekali gus meletakkan posisi terbaik Ernie untuk sama membina nama di sana sama seperti penyanyi senior, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Seperti bermimpi, penyanyi berusia 32 tahun itu turut menyifatkan 2024 sebagai tahun bertuah buat dirinya apabila banyak impian serta pencapaian yang dapat diraih.
“Tiada kata selain syukur, alhamdulillah untuk kedua kalinya, masih lagi bermimpi. Wajah terpampang dua kali di Spotify Billboard di New York City (NYC) adalah satu perkara yang sangat besar dalam kerjaya saya.
“Saya sendiri tak sangka, tahun ini banyak rezeki yang saya dapat, ada rezeki Billboard dan lagu saya diterima baik di Indonesia. Saya tidak pernah terfikir untuk menembusi pasaran sana bahkan itu sesuatu yang luar daripada fikiran saya, tapi tentu saja itu adalah impian.
“Itu adalah tanda aras baharu untuk saya bekerja lebih kuat dan apa yang saya lakukan ini memang khas untuk peminat saya. Saya bersyukur sebab ada pendengar dan peminat yang sentiasa menyokong karya saya,” katanya kepada Pose.
Menghargai peminat atas sokongan padu, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mendedahkan dirinya bakal melancarkan semula lagu Masing Masing dalam versi piano yang penuh emosi dan intim sebagai hadiah untuk pemuja bakatnya.
Kata Ernie, versi tersebut menonjolkan kelunakan vokal seiring memancarkan emosi mendalam dari setiap bait lirik disampaikan sekali gus merupakan hadiah istimewa buat peminat yang selalu menghargai keindahan lirik dan melodi dalam kesederhanaan.
“Saya mahu menonjolkan rasa asli dan kejujuran lagu ini, tanpa sebarang elemen muzik yang mengganggu. Mempersembahkan lagu ini dalam versi piano akan memberikan peluang kepada pendengar untuk merasai keindahan tertulis dalam banyak dimensi.
“Saya percaya bahawa cara yang paling murni untuk menyampaikan karya seni adalah melalui pengurangan hiasan yang tidak perlu, membiarkan lirik dan melodi berbicara dengan sendirinya,” ujarnya teruja.
Tuah berterusan menimpa dalam karier, meledak pula dakwaan bahawa pelantun lagu Aura itu sedang meraih ‘pencapaian’ peribadi iaitu hamil anak kedua.
Belum hamil
Tenang menjawab persoalan disua, pemenang Lagu Paling Boom Popular ABP36 itu menafikan dirinya kini sedang berbadan dua.
Tidak menolak malah terbuka andai dikurniakan rezeki zuriat, Ernie bagaimanapun menegaskan dia dan suaminya, Syamel sudah mempunyai perancangan tersendiri.
“Ramai juga sebenarnya yang bertanya. Jujurnya, saya dan Syamel terbuka dan terima seandainya Allah kurniakan rezeki zuriat baru.
“Tetapi kami berdua telah pun mempunyai perancangan sendiri iaitu untuk membesarkan Khawla, biar kami fokus pada dia seorang dahulu.
“Sekejap sahaja lagi. Biar saya buat konsert solo dulu. Lepas tu barulah kita usaha untuk dapatkan adik buat Khawla, kalau ada rezeki Allah mahu bagi, kami terima,” tuturnya tenang.
Disoal adakah puteri kesayangannya itu pernah menyuarakan keinginan untuk memiliki adik, Ernie tersenyum dan memberitahu anaknya itu pernah menyatakan hasrat tersebut, namun dalam masa sama meletakkan syarat tertentu.
“Saya pernah saja-saja tanya dia, Khawla nak adik? Dia cakap dia nak tetapi daddy tak boleh dukung adik tu.
“Itu bermakna dia belum bersedia untuk menjadi seorang kakak. Sebagai ibu saya sangat memahami situasi ini.
“Saya sendiri masih menyusun waktu untuk bersama dengan Khawla dek tugasan yang tidak tentu masa. Biar saya luangkan masa secukupnya dengan Khawla. Saya pun ada banyak lagi benda yang nak kena belajar sebagai seorang ibu,” ujarnya panjang lebar.
Tiket konsert ‘sold out’
Beralih perihal konsert solonya yang bakal berlangsung pada 25 Januari tahun hadapan, Ernie mampu tidur lena apabila tiket konsert Aura: Ernie Zakri Live In Concert licin dijual dalam tempoh tujuh jam penjualannya dibuka.
“Alhamdulillah, saya betul-betul tak sangka tiket Konsert Aura sudah ‘sold out’ dalam tempoh tujuh jam. Sebenarnya, perkara yang membuatkan saya bimbang mengenai penganjuran konsert saya ini adalah penjualan tiket.
“Saya risau sekiranya harga tiket ditetapkan itu menyebabkan orang tidak mampu membeli. Sebagai penyanyi, sudah tentu saya mahu konsert dijayakan itu dihadiri peminat-peminat yang menyokong karier saya.
“Malah, saya juga merancang untuk giatkan promosi jualan tiket konsert ini. Tapi, bila dah sold out (tiket), jadi urusan promosi yang difikirkan itu tidak perlu dibuat lagi. Saya juga dah boleh tidur lena. Terima kasih pada semua yang sudah membeli tiket,” katanya.
Ditanya persediaannya untuk konsert itu, Ernie berkata, dia akan memberikan persembahan nyanyian terbaik, namun tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang buat peminatnya.
“Saya cuma mahukan peminat-peminat yang hadir pada malam konsert itu terhibur dengan persembahan saya dan mereka pulang ke rumah dengan perasaan berpuas hati.
“Apapun, saya tidak mahu menjanjikan yang besar-besar. Tapi, apa yang saya harapkan agar mereka (peminat) mendapat kenangan terindah kerana di dalam Konsert Aura ini jugalah peluang saya dan peminat saling mendekati,” ujarnya menutup bicara.
Tidak hanya konsert di Malaysia saja, difahamkan pada Jun tahun depan juga Ernie akan meneruskan konsert solonya itu di Singapura dan dia berharap jualan tiket akan menerima sambutan baik. – HIBGLAM