Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berikrar akan lebih bekerja keras dalam perjuangan seninya selepas menerima penganugerahan tersebut pada Anugerah Seni Negara 2024 (ASN2024) malam tadi.
Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin, 45, bersyukur masih berpeluang memanfaatkan kelebihan bakat dimiliki terutama dalam menyebarkan nilai positif.
“Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.
“Amanah dan kepercayaan ini juga merupakan satu tanggungjawab buat saya secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.
“Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selain itu, pelantun lagu Menyapa Dunia itu melihat pencapaian tersebut sebagai penghargaan buat semua pihak yang membantu sepanjang tiga dekad bergelar anak seni.
“Dari hati yang luhur, saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun merupakan lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air.
“Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali meraih sesuatu kejayaan, rezeki ini adalah berkat doa dan sokongan semua pihak yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seni saya yang kini sudah mencecah 29 tahun ini.
“Justeru, saya juga ingin merakamkan penghargaan yang tulus khususnya kepada orang terdekat saya iaitu suami, anak-anak, ibu, arwah bapa, kaum keluarga, pengurusan, petugas dan kakitangan.
“Tidak ketinggalan, rasa terima kasih ingin saya panjangkan kepada syarikat-syarikat rakaman serta semua penerbit, komposer dan penulis lirik yang pernah terlibat dalam kerja-kerja penerbitan album saya selama ini,” ujarnya lagi.
Siti juga tidak lupa menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah ini.
Malah, tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada pengamal media dan peminat yang sering menyokong karier muziknya sepanjang tempoh berkarier.
Bukan itu sahaja, Siti berharap penghargaan tersebut dapat menyuntik semangatnya untuk terus mengembangkan lagi muzik ke peringkat lebih tinggi.
“Tanpa penglibatan anda semua, pencapaian ini tidak mungkin dapat saya kecapi.
“Semoga penghargaan ini menjadi inspirasi dan motivasi buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya terbaik dan membawa keindahan seni muzik Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.
Semalam, bagai dinantikan ramai Siti dipilih sebagai penerima Anugerah Khas, Biduanita Negara sempena ASN2024 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sehingga kini, hanya tiga anak seni legenda yang pernah menerima gelaran tersebut antaranya Allahyarham Saloma yang dianugerahkan pada tahun 1978, Allahyarham Sharifah Aini (2006), dan Allahyarham Tan Sri SM Salim (2013). – HIBGLAM