GARA-GARA menyelar tindakan pelakon baharu mendedahkan pernah dibuli di lokasi penggambaran, aktor popular Nadhir Nasar dikecam netizen.
Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, sebelum ini meluahkan pendapatnya mengenai isu buli yang semakin hangat diperkatakan ramai itu menerusi hantaran akaun X sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menurut netizen, juara pertandingan Hero Remaja 2020 itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian dan seharusnya lebih memahami situasi pelakon baharu yang berdepan isu buli. Malah ada yang menggelar pelakon drama Projek High Council itu sebagai penjilat artis senior.
Rasanya tak perlu kau nak jilat senior. Bukan masalah kami jadi jangan libatkan diri. Kalau senior ada stereotaip pada kami, sebagai pendatang baharu itu masalah mereka bukan masalah kau. Jangan menafikan emosi orang lain. Lepas tu pandai manipulasi balik kesalahan itu kepada mangsa,” komen salah seorang pengguna X.
“Kau antara salah seorang pelakon yang aku rasa bijak, sebab itu aku ‘follow’ kau. Tapi tengok kau tulis begini nampak tak berapa bijak pula. Jangan terlalu melangit sangat. Kita tak tahu apa yang orang lain hadap,” komen seorang lagi pengguna X.
Terdahulu, minggu lalu tular apabila seorang pelakon baharu mendedahkan pernah dibuli kru produksi dan melihat rakannya dibuli pelakon senior.
Ada juga pelakon yang mendakwa pernah dibaling skrip diawal pembabitannya sebagai pelakon. Disebabkan kenyataannya tersebut, ramai artis senior serta pengarah tampil menafikan adanya gejala buli dalam produksi tempatan seperti yang didakwa.
Menurut mereka, diherdik dan dimaki adalah asam garam dalam dunia lakonan dan seorang pelakon perlu mempunyai hati yang kental untuk melalui situasi tersebut. – HIBGLAM