DENGAN kutipan mencecah RM4 juta untuk 10 hari tayangan, catatan tersebut membuktikan filem genre komedi seram, Don Dukun menonjolkan aktor Zul Ariffin selaku hero itu bukan biasa-biasa.
Lebih sinonim dengan naskhah aksi dan pertarungan, percubaan berani mempertaruhkan pelakon sasa itu membawakan watak seorang dukun bersama karakter lucu nyata ‘menjadi’.
Bagi pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin, kepercayaan Astro Shaw dan Infinitus Gold menyuntik semangatnya mencabar diri membawakan peranan dukun pempengaruh Instagram sebaik mungkin.
“Sebenarnya Don Dukun yang menjalani penggambaran pada 2022 ini merupakan filem komedi pertama saya.
“Inilah filem yang sangat gemuruh bagi saya hingga sampai sekarang pun masih belum hilang perasaan gemuruh. Saya sendiri tak tahu kenapa.
“Dari sebelum penggambaran sampailah sekarang masih gemuruh, namun percubaan pertama bawa watak komedi di layar perak ini nampaknya berjaya. Melihatkan respons penonton, alhamdulillah.
“Jika bukan kerana kepercayaan syarikat produksi yang melihat potensi serta sisi lain seorang Zul Ariffin, tidak mungkin saya berani mencuba karakter ini,” katanya kepada HibGlam.
Lebih istimewa, naskhah kali ini juga merealisasikan impian untuk beraksi dengan tokoh perfileman disegani ramai iaitu Datuk Yusof Haslam yang mengalas peranan sebagai bapanya.
“Bagi saya, cerita ini akan menjadi kenangan manis sebaik dapat bersama beliau (Yusof Haslam) yang juga ‘father figure’ (sosok bapa) dalam industri perfileman.
“Sehingga kini beliau tetap bersemangat berkarya dan sudah tentu saya teruja dapat menjadi anak Datuk Yusof Haslam dalam filem ini.
“Dapat buat babak bersama pun sudah menjadi kenangan terindah,” ujarnya dengan nada teruja.
Pelakon versatil
Meskipun berhasil menjayakan watak komedi, aktor berusia 38 tahun itu enggan dikenali sebagai pak lawak. Sebelum ini, dia juga pernah menerima tawaran menyertai program lawak.
“Saya tidak mahu komited dengan satu-satu genre. Saya cuma suka cabar diri melakukan pelbagai genre bagi kukuhkan lagi portfolio.
“Memang ada beberapa orang tawarkan saya buat program lawak tapi saya tolak. Saya terbuka untuk berlakon mana-mana genre.
“Semua saya boleh buat kerana tidak mahu tumpu terhadap satu genre sahaja. Jadi, tak perlu gelarkan saya pelakon komedi,” jelasnya.
Bercerita tentang sisi kelakar, kata Zul, semua naskhah lakonan membuatkan orang lebih dekat dengan keperibadiannya yang sebenar.
“Tak ada apa yang perlu dibuktikan, saya hanya berkarya dengan betul.
“Sisi berbeza menjadi seorang pelawak juga memudahkan saya untuk berkarya memandangkan tak ramai yang tahu personaliti sebenar saya.
“Semakin kurang orang kenal, lebih mudah untuk saya lakukan kerja. Ada hari saya macam Don Dukun, ada hari berperangai seperti Sheriff.
“Bila tengok hasilnya, saya seronok, dua tahun tunggu cerita ini keluar dan bila dapat maklum balas positif, saya jadi lega,” tuturnya.
‘Rosak’
Ditanya mengenai kandungan komedi dalam media sosial sehingga ada yang melabelkan dirinya Zul ‘rosak, si bujang pujaan Malaya itu tergelak besar sambil memaklumkan tindakan tersebut dilakukan demi promosi Don Dukun.
“Saya buat kerana mahu promosikan filem Don Dukun seperti yang dirancang. Semua itu promosi untuk media sosial.
“Jadi saya nak santai sahaja. Kita promosi filem bukan setiap bulan dan saya rasa pada usia 38 tahun ini, saya ikut saja permintaan anak muda untuk ikut trend-trend TikTok.
“Bila dapat komen kata saya rosak, saya pun tergelak. Saya pun baru ada TikTok dan interaksi kuat di situ. Saya terbuka untuk buat apa saja demi mempromosikan filem ini.
Pelakon berbadan sasa itu sempat berkongsi pengalaman ‘berkampung’ di Kelantan buat pertama kali. Peliknya, Zul tidak berasakan tiada keperluan lagi buatnya kembali ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Saya tidak pernah ke Kelantan sebelum ini sebab tiada urusan dan saudara mara di sana. Rasa nak berjalan ke sana pun tak.
“Ini memang pertama kali seumur hidup saya. Bila sampai sana, okey sahaja.
“Sama sahaja macam saya balik Taiping tetapi selepas ini saya tidak datang dah ke sana (Kelantan), sebab sudah tidak ada keperluan dah,” tutupnya. – HIBGLAM