Suria FM raih 3.3 juta pendengar, Suria Cinta meroket

STESEN radio Suria FM berjaya mencatat lebih 3.3 juta jumlah pendengar menerusi keputusan terkini kaji selidik GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024.

Angka tersebut meningkat sebanyak 10 peratus berbanding kajian terdahulu dan secara keseluruhan Suria FM dalam tempoh seminggu.

Lebih membanggakan, segmen Suria Cinta yang dikendalikan oleh Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin mencatat peningkatan jumlah pendengar mingguan tertinggi, sebanyak 341,000 pendengar iaitu 33 peratus daripada kajian terdahulu.

Menurut DJ Lin yang juga pengurus besarnya, peningkatan angka tersebut menjadi bukti sokongan berterusan pendengar terhadap Suria FM.

“Kami amat gembira dengan keputusan kaji selidik sekali gus menunjukkan Suria FM terus menjadi pilihan utama pendengar radio di Malaysia.

Pencapaian ini disebabkan komitmen padu dan kerja keras seluruh pasukan yang telah memberikan hasil terbaik untuk para pendengar.

“Kami komited untuk terus memperkukuhkan jenama Suria agar kekal relevan dan menjadi pilihan pendengar di Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama segmen Suria Cinta turut meraih jumlah masa mendengar mingguan tertinggi (Weekly Time Spent Listening) selama tiga jam 11 minit dalam kalangan segmen utama di Suria.

Selain Suria Cinta, segmen Gaya Suria dan Muzik Top Suria kelolaan Cik Piah turut meraih peningkatan sebanyak 303,000 pendengar iaitu 23 peratus.

Manakala, segmen Morning Morning Suria kendalian Ajak, Datuk Fizz Fairuz dan Suraya pula mencatatkan peningkatan sebanyak 170,000 pendengar (12 peratus) sementara segmen Suria Petang yang dihoskan oleh Sharifah Shahirah, Chiwan, dan Kai Hassan meningkat kepada 152,000 pendengar (9 peratus).

Difahamkan, segala data tersebut merupakan hasil tinjaun GfK Pengukuran Pendengaran Radio, Wave 2 2024 (Individu berusia 10 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok