‘Sumbangan melangkaui batasan generasi, Siti Nurhaliza selayaknya Biduanita Negara’

PENYANYI Aina Abdul menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan yang diterima Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara Ke-3 pada majlis Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024).

Menurut Aina, atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, Siti, yang mesra disapa TokTi itu sememangnya layak menerima penghormatan tertinggi atas jasa dan sumbangannya sepanjang tiga dekad bergelar anak seni.

“Tahniah kepada penyanyi kesayangan kita semua, Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana dianugerahkan gelaran Biduanita Negara Ke-3.

TokTi memang layak menerima pengiktirafan itu. Siapa lagi kalau bukan beliau? TokTi adalah idola kita sejak kecil. Tanpa beliau, mungkin tiada juga kita (penyanyi),” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas konsert SFMM39, semalam.

Tambah pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu lagi, sumbangan Siti melangkaui batasan generasi sekali gus menjadi inspirasi buat semua penggiat seni.

“Saya sangat gembira untuk beliau. Jasa dan pengorbanan TokTi melangkaui segalanya.

Kepada TokTi, nikmati pengiktirafan ini kerana anda benar-benar layak atas segala usaha selama ini,” ujarnya.

Pelantun lagu Puas Sudah itu juga mengakui pencapaian ibu kepada dua cahaya mata itu menyuntik semangatnya untuk terus melakar kejayaan.

Beliau sebenarnya melebihi daripada inspirasi dan beliau adalah figura yang sentiasa ada di hati saya,” tuturnya.

Siti Nurhaliza menerima anugerah khas Biduanita Negara Ke-3 sempena ASN 2024 yang dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Pengiktirafan tersebut merupakan lambang penghargaan tertinggi negara terhadap sumbangan beliau dalam bidang seni muzik dan budaya, menjadikan Siti antara figura seni paling berpengaruh dalam sejarah Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok