‘Sudah lama saya tunggu’ – Nadeera akhirnya berjaya ke AJL39

LEBIH sedekad menanti peluang menempatkan diri di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), akhirnya malam tadi impian itu jadi kenyataan buat Nadeera apabila namanya diumumkan sebagai finalis AJL39 menerusi lagu Bukan Lagi Kita ciptaan Hael Husaini.

Sewaktu memberikan ucapan, Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 31 dilihat tidak dapat menahan sebak apabila berjaya mara ke pentas AJL39.

Sudah begitu lama saya tunggu saat ini. Agak sukar untuk saya melakar nama sebagai anak seni. Macam-macam dugaan harus ditempuhi. Hari ini (semalam) adalah hari paling bahagia untuk saya. Hanya yang tahu sahaja tahu betapa susahnya saya untuk sampai ke tahap ini,” katanya dalam keadaan sebak sewaktu ditemui pada sidang media.

Biarpun belum lagi beraksi di pentas AJL39, juara Big Stage musim kelima itu sudah menganggap kelayakannya menembusi pentas berprestij itu sebagai satu anugerah yang sangat bermakna.

Beradanya Nadeera dalam kelompok 10 penyanyi terbaik yang berjaya mara ke pentas AJL39 bakal menyaksikan pertarungan hebat dalam merebut anugerah Vokal Terbaik.

Pada edisi kali ini Nadeera bakal bersaing dengan nama-nama besar lain seperti Aina Abdul, Hafiz Suip, Ernie Zakri Marsha Milan, Amir Masdi yang dikenali sebagai penyanyi ‘power vocals’.

Ditanya sejauh mana harapannya untuk meraih anugerah tersebut, kata Nadeera dia enggan terlalu berfikir perkara itu.

Saya tidak mahu meletakkan apa-apa harapan. Sudah tentu semua yang bertanding mempunyai keinginan untuk menang. Kalau ada rezeki Insya-Allah. Dapat masuk AJL39 pun saya sudah terlalu bersyukur. Jadi saya dah tak kisah tentang menang atau kalah,” ujarnya.

AJL39 bakal berlangsung pada awal tahun hadapan di Arena Axiata Bukit Jalil. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok