‘Selidik latar belakang penganjur konsert, kaki kencing ada sampai sekarang’

JANGAN buka peluang diperdaya, penyanyi Tomok menasihatkan artis yang ingin mengadakan konsert agar meneliti latar belakang penganjur sebelum menandatangani kontrak.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, sikap berhati-hati mampu mengelakkan risiko penganiayaan terutama membabitkan penyanyi baharu.

Saya tidak menafikan insiden ditipu penganjur memang biasa berlaku, malah ada dalam kalangan penganjur suka menyakinkan penyanyi baharu untuk mengadakan konsert.

“Sebenarnya saya rasa tak ramai artis baharu yang bersedia membuat konsert, penganjur seakan memberikan harapan bulan bintang namun apabila ada perkara kurang enak berlaku, impaknya terpalit kepada artis itu sendiri.

Jadi sebagai artis kita kena ambil tahu latar belakang dan pengalaman syarikat terbabit untuk melancarkan urusan di kemudian hari,” katanya selepas sidang akhbar Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang, hari ini.

Kata vokalis kumpulan New Boyz itu lagi, dia juga pernah berhadapan dengan situasi ditipu penganjur sepanjang 25 tahun berada dalam industri.

“Kalau ikutkan memang banyak kes penipuan seperti ini berlaku yang membabitkan pihak suka mengambil kesempatan. Senario ini wujud dari dulu sampai sekarang.

Kaki kencing memang ada di sampai sekarang, yang ajak kita buat persembahan dan berjanji akan bayar kemudian tetapi kemudian hilang begitu sahaha.

“Kita jangan bagi orang seperti ini mengawal segala hal berkaitan konsert. Kasihan dekat artis-artis busuk nanti nama artis bukan penganjur. Proses perbincangan itu penting, jangan asal boleh sahaja,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tomok teruja untuk mengadakan konsert pertama bersama teman seperjuangannha Siti Nordiana selepas lebih dua dekad dalam industri seni.

Menurutnya, persembahan mega anjuran syarikatnya sendiri Popsicle Records merupakan kolaborasi istimewa yang juga hadiah atas kesetiaan peminat.

Kami teruja untuk berkongsi pentas yang bukan sahaja menyajikan lagu duet dan solo kami yang hits sejak dulu, bahkan seleksi popular Siti Nordiana bersama Allahyarham Achik sekali gus mengimbas memori,” katanya.

Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket menyaksikan konsert dijual pada harga RM98 sehingga RM498, selain VIP Box RM5,000 boleh ditempah di www.Ticket2u.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok