‘Sedang cuba jadi baba terbaik’ – Da’i Syed bikin netizen keliru

SEDANG cuba jadi baba terbaik.”

Demikian perkongsian terbaharu pendakwah selebriti, Da’i Syed dalam Instagram yang mencetuskan pertanyaan netizen mengenai keberadaannya selepas mengemukakan rayuan atas pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.

Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, memuat naik beberapa foto bersama anak perempuannya, Sharifah Fatma Nour Jamalullail selepas beberapa jam pulang dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Keterangan gambar tersebut secara jelas menyatakan dia sedang cuba menjadi bapa terbaik buat puterinya yang baru berusia tiga bulan.

Bahkan, isterinya juga pengacara pengacara, Hana Ismail meninggalkan kata-kata manis buatnya sebagai tanda penghargaan.

Tak ada yang boleh ganti tempat baba Fatma,” tulisnya.

Perkongsian itu bagaimanapun mengundang salah faham segelintir netizen yang mempersoalkan bagaimana lelaki itu boleh bebas sedangkan sepatutnya menjalani hukuman penjara.

“Dah lepas ke?” kata seorang pengikut laman sosialnya.

“Minta maaf ye, bukan Da’i Syed sedang jalani hukuman?” tulis netizen lain.

“Dah dibebaskan ke?” ujar seorang lagi pemilik akaun Instagram.

Berdasarkan kenyataan peguamnya Amin Othman, kedatangan mereka ke mahkamah adalah berkaitan pengurusan kes iaitu menfailkan petisyen rayuan dan kes akan disambung semula pada 10 Disember depan.

Pada 30 Ogos lalu, Da’i Syed dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan merogol seorang wanita lima tahun lalu.

Bagaimanapun selepas 21 hari, Syed dilepaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut pada 20 September lalu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Penanguhan hukuman itu adalah sehingga rayuan pendakwah itu didengar dan diputuskan.

Terdahulu, pada 10 Disember 2020, Da’i Syed mengaku tidak bersalah merogol seorang wanita berusia 23 tahun ketika itu di bilik sebuah kondominium I-City, Seksyen 7, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok