‘Sayang kita hilang satu lagu yang bagus’

PENYANYI popular Ernie Zakri meluahkan rasa kecewa apabila lagu dendangan suaminya, Syamel yang berjudul Belakang Tabir gagal mara ke Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, menerusi hantaran dalam aplikasi X berpendapat lagu yang ditulis Syamel untuknya itu satu karya yang bagus.

Belakang Tabir, dia tulis untuk saya. Sayang kita kehilangan satu lagu yang bagus. Saya bukan cuba untuk menjadi ‘bias’. Saya cuma menyatakan fakta,” tulisnya.

Selain Ernie, peminat turut meluahkan rasa kecewa apabila karya yang menjadi lagu tema drama Luruhnya Bunga Cinta itu gagal ke AJL39.

Malah, ada yang berharap agar pihak produksi membuka kuota jumlah finalis menjadi 12 perserta seperti tahun-tahun sebelumnya.

Tahun ini pihak produksi hanya memilih 10 lagu terbaik termasuklah lagu dendangan Ernie Zakri yang berjudul Aura.

Sementara itu, menurut ketua juri Edry Abdul Halim, Belakang Tabir ada keistimewaan tersendiri namun 10 lagu yang terpilih lebih layak.

Dalam ramai-ramai peserta yang bertanding di Separuh Akhir Muzik Muzik 39, Syamel yang paling rapat dengan saya. Namun tak bermakna saya perlu ‘bias’.

“Bagi saya lagu Belakang Tabir kurang daya saing berbanding 10 finalis lain,” jelasnya.

10lagu yang bakal bertanding bagi merebut gelaran juara di pentas AJL39 awal tahun hadapan adalah Diam, Sengaja, Saksama, Puas Sudah, Bukan Lagi Kita, Risiko, Pujaanku, Aura, Hening Rindu dan Terus Bersinar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok