BEKAS penyanyi dangdut, Iwan Syahman enggan mengulas panjang tindakan anaknya, pelakon Aprena Manrose tidak bertudung ketika bermain badminton bulan lalu.
Kata Iwan atau nama sebenarnya Wan Syahman Wan Yunus, 64, sebarang tindakan lanjut diserahkan kepada menantunya, Mohd Afiq Hazman memandangkan Aprena sudah bersuami.
“Apabila perkara ini berlaku, orang akan bertanya dan biasanya saya akan tahu. Tetapi bagi saya, Aprena ada suami. Sebagai bapa saya tidak boleh masuk campur tanggungjawab suami dia.
Apabila dia berumah tangga, hal itu sudah menjadi tanggungjawab suami yang menjaganya. Kecuali kalau dia sudah bercerai, itu menjadi tanggungjawab saya dan tahulah saya macam mana nak buat.
“Namun, sebagai bapa tetap beri peringatan,” ketika ditemui di majlis Sentuhan Kasih Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) semalam.
Tambah Iwan, meskipun anaknya sudah berumah tangga dia tetap menjalankan peranan sebagai bapa menasihati dan memberi teguran terutama melibatkan tuntutan agama.
“Setiap kali anak-anak datang ke rumah saya di Kuala Selangor, memang saya akan beri teguran. Saya akan beri nasihat tentang banyak hal. Apa yang boleh dan tidak boleh, tetapi semua itu tetap terserah kepada iman mereka.
Saya hanya memperingati mereka seperti mana yang dilakukan oleh Rasullah SAW yang menyampaikan dakwah untuk memperingati kepada umatnya agar mencari reda Allah. Bagaimanapun, hidayah itu tetap milik Allah yang tidak boleh dipaksa.
“Tapi, kita syukur dan kita doa. Setiap hari kita berdoa supaya anak-anak diberi kehidupan baik. Macam dia (Aprena) yang sekejap buka dan pakai tudung, itu biasa sebab ‘iman’ yang ada dalam dirinya masih tidak diusahakan betul-betul,” katanya.
Terdahulu Aprena atau atau nama sebenarnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 31, tidak bertudung ketika menghabiskan masa bersama keluarga bermain badminton.
Aprena dikatakan telah memuat naik video dalam Instagram Story yang hanya memakai kemeja-T lengan pendek dan bandana berwarna putih termasuk cuba menyembunyikan rambutnya dengan sehelai tuala. – HIBGLAM