PELAKON Erysha Emyra tiada masalah jika ibunya, Datin Seri Noniswara mahu menamatkan zaman solo setelah setahun kematian suami, Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad pada Oktober tahun lalu.
Kata pelakon Aku Bukan Ustazah itu, dia dan adik-beradik tidak akan menolak takdir atau menyekat kehendak ibunya jika serius mahu kembali bergelar isteri.
“Sekiranya memang ibu saya ingin berkahwin semula, pastilah saya setuju. Lagi pun di dunia ini, siapa kita yang ingin menolak takdir.
Kalau sudah sampai jodohnya, ada yang datang melamar dan ingin menjaga dia dengan baik, insya-Allah siapa kita untuk menolak.
“Tetapi, pastikan anak-anak dapat kenal dahulu, bawa dia berjumpa dengan keluarga dan kita akan duduk bersama berbual. Sekiranya kami rasa baik dan okey, teruskan saja (berkahwin),” katanya.
Erysha Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, berkata, dia juga tidak tahu menahu tentang pendedahan ibunya yang menolak lamaran beberapa lelaki sebelum ini. Perkongsian tersebut mungkin satu cara ibunya mengisi kesunyian tanpa suami di sisi.
“Saya tidak perasan perkongsian itu. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu komen banyak, tapi saya tahu mungkin hatinya masih sedih. Kadang-kadang dia telefon anak-anak, kata rasa sunyi.
Sebab sebelum ini dia memang selalu luangkan masa dengan suaminya. Sekarang dia cuba untuk sibukkan diri dengan habiskan masa dengan anak dan kawan-kawan.
“Jika tidak pun dia sibukkan diri dengan buat kerja di rumah,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui dalam sidang media tiga drama terbitan Astro iaitu Curang Tanpa Niat, Rahsiamu Selamat Denganku dan Opis Politik, semalam.
Dalam pada itu, Erysha turut memberitahu ibunya kini sedang melalui fasa berbeza dan menyesuaikan diri dengan perubahan kehidupan baharu.
“Kami ada la berkongsi cerita. Dia cerita dekat saya macam mana perasaan dia sekarang. Saya dia perlukan masa sebelum benar-benar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kehidupan baharu.
Sebelum kita tahu dia pernah bercerai, tetapi kali ini dia kehilangan suami disebabkan kematian. Jadi itu dua perkara berbeza dan bagi saya dia akan menyesuaikan diri dengan situasi baharu itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Erysha akan muncul dalam drama Opis Politik terbitan KL Motion Pictures Sdn Bhd bermula 4 Disember depan di saluran Astro Ria.
Selain Erysha drama genre komedi itu turut dibintangi oleh Syafie Tee, Rashidi Ishak, Hafiz Halim dan Shania Hendrik. – HIBGLAM