MENJADI satu-satunya pelakon dari Semenanjung yang tidak boleh bertutur dalam dialek Sarawak tidak membataskan aktor Syafie Naswip untuk berinteraksi dengan warga setempat saat menjayakan penggambaran filem Tegkang di Bario, Sarawak.
Katanya, biarpun terletak di kawasan pedalaman, namun warga setempat fasih bertutur dalam bahasa Inggeris yang secara tidak langsung membuka perspektif baharu kepada dirinya.
“Tidak ada masalah untuk saya berbual dengan penduduk setempat kerana kesemua pelakon banyak membantu saya. Dalam filem Tegkang ini boleh dikatakan hanya saya seorang yang tidak pandai bercakap bahasa Sarawak.
Filem ini juga memfokuskan kepada budaya dan keunikan masyarakat etnik Kelabit yang juga saya tidak tahu bagaimana hendak bertutur dalam bahasa mereka.
“Tetapi, nasib baik semua pelakon sangat membantu dan orang kampung di Bario juga fasih bertutur bahasa Inggeris.
“Jadi, saya tidak melihat sebarang kekangan kerana paling penting, saya faham bagaimana perjalanan watak dan cerita ini.
“Itu paling utama dan diharapkan penonton juga berpuas hati apabila melihat keindahan panorama Bario,” terangnya panjang lebar.
Sanggup sakit
Mengulas lanjut, ‘keindahan’ milik Bario juga menyukarkan dirinya menolak tawaran apabila diminta untuk membintangi filem berkenaan.
Jelas aktor berusia 32 tahun itu, sedar risiko berdepan kesakitan dan membelakangkan larangan pakar perubatan, namun dia tetap membulatkan hati demi menjayakan watak Hanafi.
Saya perlu ke Sarawak pada hari kelima selepas membuat pembedahan apendiks. Doktor memang menasihati saya untuk rehat, tetapi saya langgar kerana penggambaran ini perlu diteruskan supaya tidak membebankan pihak lain.
“Doktor nasihatkan berehat seminggu di hospital tetapi saya tetap minta untuk diizinkan ke Sarawak.
“Hari pertama penggambaran, luka pembedahan saya pecah sebab banyak melakukan babak mendaki bukit. Boleh dikatakan setiap hari perlu naik turun bukit kerana lokasi penggambaran terletak di kawasan pedalaman.
“Selepas beberapa hari menahan sakit, saya kemudian demam panas. Setiap kali sebelum menjalani penggambaran, saya perlu mendapat rawatan drip air dan suntikan di klinik kesihatan,” katanya.
Biarpun berdepan dengan banyak cabaran, Syafie tetap optimis untuk terlibat dalam filem berkenaan kerana tertarik dengan keindahan dan budaya masyarakat Bario.
Sebagai pelakon, saya ingin mencabar diri menjalankan penggambaran watak dan lokasi berbeza, lebih-lebih lagi tempat seperti Bario yang tidak pernah saya kunjung,” jelasnya tertawa.
Tiada jurang
Sementara itu, pertama kali bergandingan dalam filem Tegkang bukan halangan buat pelakon baharu, Michelle Lungan mewujudkan keserasian kimia dengan bintang Mukhsin itu.
Bagi pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik anugerah Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghidupkan watak Rinai kerana semua pelakon pelakon filem tersebut memberikan kerjasama yang baik.
“Saya dan Syafie tidak pernah bertemu atau bekerjasama sebelum ini.
“Kami hanya mempunyai sekitar lima hari untuk mewujudkan keserasian itu iaitu sebelum penggambaran bermula.
Pada saya keserasian itu tidak sukar kerana Syafie seorang pelakon senior yang matang dan suka membantu.
“Dia juga tidak sombong dan mudah untuk bertanya dan berbincang. Awalnya saya memang teruja apabila berpeluang berlakon dengan dia kerana sebelum ini banyak menonton karyanya,” ujarnya.
Kelabit
Selain mempamerkan keindahan panorama Bario, karya arahan Josh Nawan itu menjadikan gaya kehidupan etnik Kelabit sebagai latar masyarakat.
Kehidupan masyarakat kaum Kelabit yang kurang diketahui masyarakat luar terutama di Semenanjung.
Atas alasan itu juga Michelle, 27, bersungguh-sungguh mahu memastikan keberhasilan dan kemenjadian lakonannya dalam Tegkang.
Meskipun sudah mengenali dengan pengarah filem tersebut, namun Michelle tidak mengambil mudah atau menggunakan teknik ‘orang dalam’ untuk mendapat peranan sebagai tunjang utama.
“Saya menjalani sesi uji bakat sebanyak empat kali untuk mendapat peranan dalam filem ini.
“Saya tidak mahu mengambil kesempatan hanya kerana sudah beberapa kali bekerjasama dengan Josh sebelum ini.
Sebagai pelakon, saya ingin buktikan kemampuan dan kemahiran sebagai anak seni. Malah cerita ini juga mempunyai makna tersendiri dan istimewa buat saya,” katanya.
Mengulas mengenai keistimewaan itu, Michelle berkata, sebagai kaum etnik Kelabit, tentu sahaja peluang untuk menjadi pelakon utama dalam filem Tegkang memberi 1,001 makna buatnya.
“Filem ini mengisahkan kaum etnik Kelabit yang mana mendiang datuk saya juga seorang etnik Kelabit.
“Sebab itulah saya bersemangat berlakon dalam cerita ini.
Pelangi
“Tidak dinafikan pembikinan filem ini mengingatkan saya kepada mendiang datuk yang meninggal dunia akibat sakit tua beberapa tahun lalu. Jadi, filem ini saya dedikasi khas untuk dia,” ujarnya.
Biar ada kaitan dengan latar belakang keluarga, Michelle tidak membiarkan dirinya larut dengan emosi, sebaliknya berusaha menterjemahkan watak Rinai dengan baik menerusi nakshah yang memulakan tayangan di pawagam bermula 28 November depan.
Tegkang mengisahkan hubungan antara seorang pelancong, Hanafi lakonan Syafie dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle) yang dibesarkan di sebuah kampung di kawasan pedalaman.Kehadiran Hanafi ke kampung tersebut bagaimanapun mengubah kehidupan Rinai yang akhirnya membongkar sebuah rahsia lama.
Filem berkenaan menggunakan hampir 99 peratus anak lokal di Bario yang hampir semuanya orang Kelabit.
Lebih menarik hampir keseluruhan adegan dalam Tegkang dilakukan di Bario. Tegkang diambil daripada bahasa kaum Kelabit di Sarawak yang bermaksud pelangi.