Saya patut ziarah Ahmad Nawab semalam – Jamal Abdillah

Penyanyi Datuk Jamal Abdillah meluahkan rasa terkilan kerana tidak berkesempatan untuk bertemu dengan teman baiknya iaitu maestro muzik terkenal, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab yang meninggal dunia hari ini pada pukul 3.15 petang.

Jelas Jamal, 65, kelmarin beliau menghubungi anak Allahyarham iaitu Ismail Ahmad Nawab bagi menyuarakan hasrat untuk menziarahi pemuzik itu di kediaman mereka.

Bagaimanapun, Ismail memaklumkan Allahyarham baru pulang ke rumah selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat jangkitan kuman.

“Memang agak terkilan kerana saya sebelum ini memang ingin melawat arwah. Tetapi anak beliau meminta agar diberi masa dahulu kerana arwah baru keluar dari IJN.

“Waktu itu arwah masih belum sedarkan diri. Jadi saya fikir lebih baik beri waktu dahulu untuk dia berehat. Jika diikutkan saya merancang untuk melawatnya semalam.

“Hari ini saya ada undangan persembahan di Johor jadi, terkilan juga kerana tidak berkesempatan untuk menziarah arwah untuk kali terakhir,” katanya ketika dihubungi HibGlam sebentar tadi.

Dalam pada itu, Jamal menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar dalam industri hiburan tanah air.

Malah, Jamal turut berasa sedih apabila sekali lagi kehilangan seorang sahabat baik dalam industri hiburan selepas Allahyarham S.Atan yang meninggal dunia pada 16 November lalu.

“Beliau seorang ikon muzik dan sememangnya ini satu kehilangan yang amat mendukacitakan.

“Sekali lagi saya kehilangan teman baik yang banyak membantu saya dalam kerjaya muzik,” katanya.

Antara lagu yang pernah dihasilkan oleh Allahyarham nyanyian Jamal ialah Kembali, Syukur dan Kau Lupa Pada Janji.

Selain Jamal antara artis lain yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham ialah Datuk DJ Dave, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Allahyarham Datuk Sudirman, Uji Rashid dan Allahyarham Hail Amir – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok