PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah menyifatkan dirinya belum layak dianugerahkan gelaran Biduan Negara sepeti yang dicadangkan netizen.
Menurut Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, pengiktirafan itu menuntut penggiat seni ada pencapaian hebat dalam kembara seninya.
“Belum lagi kot, mungkin setahun dua lagi. Kena lihat apa penglibatan serta pengorbanan kita dalam industri seni. Adakah nyanyian kita berjaya memenangi hati-hati pendengar.
Saya bersyukur seandainya diberikan penganugerahan tersebut tetapi tidak pernah mengharapkan apa-apa. Anugerah tersebut merupakan satu penghormatan buat insan seni dan terlalu tinggi nilainya untuk saya terimanya,” katanya kepada HibGlam.
Akui pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu lagi, dia tidak tahu netizen telah mencadangkan namanya dan rasa terharu kerana mereka berasakan dirinya layak menerima penganugerahan tersebut.
Terdahulu, selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza dianugerahkan gelaran Biduanita Negara, ramai netizen mencadangkan beberapa nama penyanyi lelaki yang layak diiktiraf sebagai Biduan Negara.
Antara nama yang disebut netizen ialah Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, kumpulan KRU dan Jamal Abdullah.
Dalam perkembangan lain, Jamal bakal bergandingan dengan Ziana Zain, Ella Aminuddin dan Jo Branko dalam konsert Blue Serenade bersama kumpulan orkestra PDRM yang akan berlangsung di MITC Melaka pada 28 Disember depan. – HIBGLAM