Saya ADHD, bukan bipolar – Diana Danielle

Didakwa menghidap bipolar, pelakon Diana Danielle tampil menafikan dakwaan tersebut sebaliknya mengakui mengalami sindrom Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan atau ADHD.

Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 34, memaklumkan, ada pihak menganggap segala semua yang terjadi berkaitan kehidupan peribadi berlaku kerana bipolar dan kecelaruan personaliti.

Bagi membetulkan tanggapan sesetengah pihak tentang kesihatan mental, saya mempunyai ADHD dan bukan bipolar.

“Saya tidak mempunyai episod gangguan mania seperti yang cuba diterangkan sesetengah pihak.

“Saya tidak mengalami kecelaruan personaliti atau Dissociative Identity Disorder (DID), semua label ini dilemparkan untuk menidakkan pengalaman dan pilihan saya,” katanya dalam sebuah InstaStory.

Sebelum ini, pelakon filem Imaginur itu memberitahu, dia penghidap ADHD sehingga membuatkan dirinya mempunyai masalah memori dan cepat lupa.

Dia juga memaklumkan perlu berjumpa doktor pakar setiap bulan bagi memantau perkembangan keadaan dirinya.

Dalam masa sama, Diana juga dilihat aktif menghadiri acara berkaitan psikologi walaupun sedang melalui kemelut rumah tangga dengan suaminya, Farid Kamil.

Baru-baru ini, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad berpisah dan bakal memfailkan perceraian buat kali kedua.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun, kembali rujuk sebulan kemudian.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang berusia sembilan tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok