Sakti Merong Mahawangsa ‘hadiah’ 30 tahun Aswara 

MENGANGKAT hikayat legenda, Persatuan Alumni Aswara menyahut cabaran mempersembahkan teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa sempena sambutan jubli mutiara Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Direalisasikan  Persatuan Alumni Aswara, lebih 100 bekas penuntut dari pelbagai fakulti pusat pengajian itu berganding bahu memenuhi hasrat Rektor, Dr. Tan Awang Besar yang mahu mengangkat karya agung Hikayat Merong Mahawangsa ke pentas teater.

Presiden Persatuan Alumni Aswara Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku, Alaudin berkata, pementasan teater muzikal itu mengumpulkan alumni dari penubuhan Aswara pada 1994 sehingga kini yang mempunyai kepakaran masing-masing.

Pementasan ini adalah simbol semangat Aswara yang kental memelihara serta mengangkat nilai seni dan warisan negara sejak  ditubuhkan pada 1994.

“Kami berbangga walaupun projek ini dilaksanakan dalam tempoh singkat, ramai bekas pelajar yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing tampil sebaik projek ini diumumkan beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Sementara itu, pengarah teater muzikal berkenaan, Mohd. Sharul Mizad Asari mengakui cabaran menggalas tanggungjawab tersebut adalah dari segi masa apabila mereka diberi tempoh singkat bagi melaksanakan sebuah persembahan bertaraf mega.

Sesi uji bakat

“Prosesnya memang mencabar kerana kami diberi tiga bulan sahaja dari fasa penstrukturan skrip sehingga memilih pelakon serta mengumpulkan tenaga belakang tabir.

Namun, bekerja dalam tekanan adakalanya mencetuskan idea lebih kreatif, gabungan mantap serta semangat berganda hasil kerja berpasukan,” ujarnya.

Menurut Mohd. Sharul, pelakon yang menunjangi watak juga dipilih menerusi sesi uji bakat bagi berlaku adil kepada semua alumni bersandarkan syarat calon kebolehan menyanyi, berlakon dan menari.

“Ikutkan teater muzikal kebiasaannya memerlukan masa berbulan-bulan untuk membuat persediaan sebelum dipentaskan.

Apa pun kami sudah melakukan sehabis baik apatah lagi mendapat sokongan semua yang terlibat termasuk pengurusan Aswara, pelakon serta tenaga belakang tabir menerusi latihan intensif setiap hari.

“Setakat ini lebih 80 peratus persiapan sudah disempurnakan sebelum naskhah ini menemui  khalayak,” katanya.

Inspirasi karya legenda

Sakti Merong Mahawangsa akan  dipentaskan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) bermula 22 hingga 24 November ini.

Kisah ini mengambil inspirasi Hikayat Merong Mahawangsa yang juga interpretasi moden menceritakan perjalanan hidup Merong Mahawangsa membina Kedah Zamin Turan, kini dikenali sebagai negeri Kedah.

Antara pelakon lain yang membintangi teater ini adalah Ezdianie Hayatie, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Fiza Thomas, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Aznie, Mei Fen, Najua P. Ramlee, Ewan Fauzi, Syrul Ezwan, Reza Mohamed dan Hafizam.

Orang ramai yang berminat menonton teater berkenaan boleh membeli tiket secara dalam talian menerusi pautan https://www.cloudjoi.com/shows/teater-muzikal-sakti-merong-mahawangsa.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok