S Atan tak berkira, ikhlas bantu kawan – DJ Dave

PEMERGIAN komposer legenda, Datuk S. Atan, turut dirasai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave, yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang kawan yang setia dan pemuzik berbakat besar.

Menurut DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, 76, Allahyarham tidak pernah berkira dalam membantu rakan seperjuangan, malah sering menawarkan khidmatnya dengan penuh keikhlasan.

“Bila saya buat konsert dekat Istana Budaya, dia menawarkan diri untuk bermain muzik.

“Dia cakap dia nak mengiringi semua lagu dengan hanya memetik piano.

“Dia mampu membawakan 35 lagu dengan baik meskipun tanpa latihan,” katanya kepada HibGlam.

DJ Dave turut memuji sentuhan seni Allahyarham yang mampu menjadikan setiap karya hasil ciptaannya sebagai warisan berharga.

“Arwah yang mencipta lagu Menjelang Hari Raya dan lagu itu popular hingga hari ini. Lagu Kawan Yang Setia juga adalah hasil ciptaan arwah. Ketika saya mula-mula menerima liriknya dalam bahasa Inggeris, itu sangat menyentuh hati.

“Rangkap seperti ‘waktuku senang, ramai teman dan saudara. Waktu ku jatuh, sudah mereka menjauh,’ sangat meruntun jiwa.

“Lagu itu menjadi hits, dan saya amat terharu serta berterima kasih kepada arwah atas karya indah tersebut,” ujarnya.

Hilang sebutir permata negara, pemergian Allahyarham disifatkan DJ Dave sebagai kehilangan besar buat industri seni negara.

“Kita kehilangan tokoh muzik tersohor yang sukar dicari ganti. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang pernah bekerja dengannya,” ujarnya.

Jenazah Allahyarham S Atan akan disolatkan di Masjid Jamek Bandar Kajang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, hari ini.

Allahyarham meninggalkan legasi besar dalam dunia seni tanah air, termasuk karya-karya yang terus menjadi siulan generasi pelbagai zaman – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok