PERTEMUAN pelakon Risteena Munim dan Fattah Amin dalam sebuah majlis baru-baru ini telah membangkitkan keterujaan peminat.
Mana tidaknya mereka berdua pernah bergandingan dalam drama bersiri Playboy Itu Suami Aku yang pernah menjadi bualan ramai kira-kira 12 tahun lalu.
Drama tersebut merupakan ‘debut’ Risteena dan Fattah sebagai hero dan heroin drama tempatan.
Risteena atau nama lengkapnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 35, dilihat berkongsi momen pertemuannya bersama Fattah dalam akaun Instagram.
Risteena ketika dihubungi HibGlam berkata, pertemuan semula dengan Fattah menggamit memori silam.
“Saya tak pernah berjumpa dengan Fattah selepas berlakon drama Playboy Itu Suami Aku. Bayangkan sudah 12 tahun kami tak pernah berjumpa di mana-mana.
Bila berjumpa kami ketawa bila teringat semula kenangan sewaktu berlakon drama tersebut. Masing-masing masih muda dan baru dalam industri.
“Sebenarnya kami pernah ditawarkan untuk membintangi drama lain bersama gara-gara drama fenomena itu tetapi jadual saya tidak mengizinkan
Sebelum itu pun, ada perancangan untuk bikin musim kedua Playboy Itu Suami Aku tapi tak dapat diteruskan sebab jadual saya dan Fattah padat,” katanya.
Menjengah ruangan komen, ramai peminat meluahkan rasa rindu untuk melihat gandingan semula Risteena dan Fattah.
“Alhamdulillah mereka bertemu semula dengan izin-Nya. Rindu gila duo ini. Semoga dapat ‘comeback’ dengan drama baharu bersama,” komen netizen.
“Drama yang aku layan waktu kecil dulu. Tengok daripada episod pertama hingga akhir. Sanggup tidur lambat semata-mata nak tengok iklan sambungan episod minggu hadapan,” komen seorang peminat. – HIBGLAM