Prihatin nasib Ebby Yus, Yayasan Nurjiwa hulur sumbangan

PRIHATIN terhadap sesama insan, Yayasan Nurjiwa milik penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Jiwa menghulurkan sumbangan kepada pelakon Ebby Yus yang menghidap sakit jantung dan buah pinggang.

Menerusi perkongsian dalam Instagram, wakil Yayasan Nurjiwa yang menziarahi Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 59, di kediamannya di Kampung Baru, kelmarin, mengakui kagum dengan kecekalan pelawak terbabit.

“Hati kami tersentuh melihat ketabahan Ebby yang tetap tersenyum walau hebat diuji.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan, sumbangan ikhlas disampaikan bagi pihak Yayasan Nurjiwa serta Datuk Seri Khalid Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya dalam perkongsian itu.

Pada masa sama, Yayasan Nurjiwa meminta orang ramai untuk sama-sama mendoakan kesembuhan Ebby dan dikurniakan  kesejahteraan.

Kami ingin mengajak orang ramai
turut mendoakan Ebby diberi kesembuhan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi dugaan ini.

“Semoga Ebby kembali sihat dan ceria, terus menghiburkan kita semua dengan senyum dan jenakanya yang dirindui,” ujarnya.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan artis yang sudah empat dekad dalam industri seni itu dimasukkan ke hospital selama 17 hari berikutan jangkitan kuman pada kesan luka tebuk pada bahagian perut.

Sebelum itu Ebby yang turut mempunyai masalah buah pinggang mula menjalani dialisis darah namun disebabkan jantungnya lemah, dia perlu mengikuti rutin dialisis air pula.

Tahun lalu, Ebby dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan tahap kekuatan jantungnya sudah tinggal kira-kira 27 peratus sebelum menjalani pembedahan memasang perentak di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Berikutan tahap kesihatannya yang menurun, Ebby kini sudah lebih empat bulan tidak dapat bekerja sekali gus terpaksa menjual barangan peribadi termasuk koleksi keris demi kelangsungan hidup. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok