SIAPA sangka muzik era tahun 1960-an dan 1990-an boleh bergabung dan kedengaran harmoni di atas pentas sebuah konsert?
Getaran sebegitulah yang dirasakan sepanjang tiga jam menikmati setiap momen pada Konsert Battle Of The Time: Exists X Masdo yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.
Dihadiri lebih 2,000 penonton, konsert anjuran DENNSA dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta Kumpulan My Creative Ventures tersebut berjaya membikin WTCKL ‘full house’!
Pada awalnya, ramai beranggapan gabungan dua kumpulan dari zaman berbeza itu kurang serasi untuk berada di atas pentas yang sama, namun semua sangkaan tersebut meleset.
Seperti konsert-konsert terdahulu, pentas yang dibuka Masdo seolah-olah memberi ‘nyawa’ kepada para pemujanya.
Baru lahir
Sedondon dengan busana berwarna kuning, Masdo yang dianggotai Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) menghiburkan penonton dengan 10 buah lagu hit mereka.
Antaranya Bunga, Miss Flower Learns to Twist, Janji Manis, Inilah JalanNya, Perih Jerih, Kechundang dan Dinda.
Selaku vokalis, Ali mengakui terharu apabila berpeluang mempunyai pengalaman konsert bersama kumpulan yang disifatkan legenda iaitu Exists yang mula mengorak langkah dalam dunia seni seawal 1992 ketika dirinya baru sahaja lahir ke dunia.
Katanya, kesemua ahli Masdo merupakan peminat yang membesar dengan lagu-lagu Exists yang dianggotai Ezad Lazim selaku vokalis, Along (gitar), Musa Radhi (bes), Ujang (dram) dan Ajai (keyboard).
Konsert ini seperti mimpi jadi kenyataan sebab Masdo adalah peminat Exists. Ketika mereka ditubuhkan, saya baru lahir iaitu sekitar awal 1990-an.
“Kini, Exists sudah pun mencecah usia 33 tahun. Jadi, dapat peluang sepentas bersama band legenda ini, memang sangat memberi makna besar untuk kami.
“Terima kasih kepada penganjur kerana menyatukan kami di pentas konsert yang hebat seperti ini,” katanya.
Meneruskan acara, kemuncak persembahan mereka boleh dikatakan ketika memasuki segmen wajib iaitu ‘cangkung’ yang dilakukan dalam setiap konsert.
“Semua cangkung, kami akan kira kemudian anda akan terus melompat!” jerit Ali sebelum menutup pentas dengan Malam Pesta Rock & Roll dan Bercanda Di Malam Indah.
Tidak menunggu lama, pentas seterusnya ‘dirampas’ Exists yang meraih sorakan gemuruh daripada penonton sekali gus membuktikan kumpulan itu masih relevan.
Suara telan kaset
Membuka pentas dengan lagu Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya, Julia, Tak Tahu Harga Cinta, Janji Padamu dan Langkah Seiringan, suara Ezad kekal konsisten, seperti telan kaset!
Ezad berkata, meski Exists sudah berusia tiga dekad, mereka sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada peminat, selain mengakui berbesar hati dapat berkongsi pentas dengan Kugiran Masdo.
“Tidak kira siapa pun peminat, kita nikmati persembahan ini sehingga ke penghujung.
“Kami berbesar hati dan kalau dibandingkan umur Exists dan Masdo, ketika Exists 30 tahun, mereka baru 10 tahun.
Kugiran Masdo antara kumpulan terbaik, sebab itulah kami teruja untuk berkongsi pentas,” ujarnya.
Tidak mengecewakan harapan penonton, mereka seterusnya mendendangkan lagu-lagu ‘berhantu’ seperti Jesnita, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu.
WTC pada malam itu tidak ubah seperti pusat karaoke, semua yang hadir termasuk golongan Gen Z turut menyanyikan lagu-lagu Exists, terutama Mengintai Dari Tirai Kamar yang kini masih popular termasuk di Indonesia.
Konsert seterusnya ditutup dengan persembahan kolaborasi Exists dan Masdo menerusi tiga buah lagu iaitu Pujaanku, Kapal Terbang Kertas dan Pesta Muda Mudi.
Tidak keterlaluan sekiranya konsert tersebut disifatkan seperti menonton persembahan gandingan bapa dan anak, namun gabungan sungguh menghiburkan.