MENEPATI ramalan apabila lagu Puas Sudah nyanyian Aina Abdul serta alunan Terus Bersinar milik Hafiz Suip diumumkan antara 10 karya yang berjaya memburu gelaran juara di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) pada awal tahun hadapan.
Lama berehat selepas memenangi Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik pada AJL34, Hafiz kembali berentap dan memberikan saingan sengit.
Lebih mengujakan, AJL39 bakal menyaksikan pertarungan epik kategori vokal iaitu Ernie Zakri menerusi lagu Aura manakala Nadeera dengan lagu Bukan Lagi Kita dan dendangan Hening Rindu daripada Marsha Milan.
Turut berjaya melangkah ke pentas berprestij itu adalah lagu Diam nyanyian Hael Husaini, Sengaja (Amir Masdi), dan Saksama (Akim & The Majistret).
Dua lagi lagu yang bakal beraksi adalah Risiko (Benzoloo, Tuju dan MK K-clique) dan Pujaanku, nyanyian Masdo dan Aishah Aziz.
Senarai kesemua lagu final AJL39 diumumkan usai Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39 (SFMM39) hari kedua yang berlangsung di studio NTV7 Glenmarie, malam tadi.
Dihoskan Izzue Islam dan Fiza Frizzy, SFMM39 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod yang berlangsung sejak semalam (Khamis).
Untuk SFMM39, semua lagu dinilai barisan juri profesional Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, Ly Baiduri, Helen Yap, dan Ad Samad yang diketuai Edry Abdul Halim.
Tahun lalu menyaksikan penyanyi Amir Jahari merangkul gelaran juara menerusi lagu Hasrat hasil nyanyian dan ciptaan penyanyi itu sendiri dinobatkan sebagai lagu terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Amir membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi. – HIBGLAM