PERNAH patah tulang belakang sehingga tidak dibenarkan memakai kasut tumit tinggi lagi bukan kekangan buat jelitawan Sandra Lim untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas Miss Universe 2024.
Sandra atau nama sebenarnya Sandra Lim Shue Hui, 24, berjaya menamatkan kemarau 53 tahun Malaysia di Miss Universe apabila menjadi wakil kedua yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 teratas selepas kali terakhir pada 1970 menerusi Josephine Lena Wong.
Melalui hantaran dalam akaun Instagram sehari sebelum pertandingan, Sandra mendedahkan dia pernah dinasihatkan agar tidak lagi memakai kasut bertumit tinggi dan bersukan berikutan kecederaan yang dialami.
“Dapat berjalan dalam segmen pakaian renang pertandingan Miss Universe adalah satu impian mustahil buat saya beberapa tahun lalu. Namun saya yang tentukan hidup sendiri dan enggan perkara itu menghalang saya daripada mengejar impian.
Saya berdiri di sini hari ini untuk membuktikan bahawa tidak kisah apa jua keadaan, selagi berusaha keras anda akan terbang tinggi lebih daripada apa yang anda bayangkan,” tulisnya.
Selain itu, anak jati Selangor itu turut mendedahkan pernah diminta melakukan pembedahan plastik sekiranya mahu berjaya dalam pertandingan ratu cantik.
“Bentuk badan saya sedikit maskulin gara-gara bergelar atlet sukan seni pertahankan diri wushu dan tinju. Disebabkan itu ada yang menyarankan saya melakukan pembedahan plastik agar memenuhi standard kriteria ratu cantik. Tetapi bagi saya kecantikan sebenar bukan hanya fizikal semata-mata. Ia lahir dari dalam dan bagaimana anda tonjolkan kecantikan itu,” katanya.
Ini bukan kali pertama Sandra mengharumkan nama Malaysia di pertandingan ratu cantik antarabangsa. Sebelum ini dia pernah menjadi naib juara Miss Global 2022 yang berlangsung di Bali Indonesia. – KOSMO! ONLINE