BUKAN mudah untuk berjaya, pelawak Sharif Zero mendedahkan adiknya, Atu pernah berdepan detik hitam dalam hidup sebelum bergelar selebriti.
Ujar Sharif atau nama sebenarnya, Sharif Kadir Doli Sharif, 34, Atu pernah lari dari kampung ke Kuala Lumpur dengan hidup sebagai gelandangan kerana tidak mempunyai wang.
Dulu aku tengok Atu macam tiada harapan (untuk berjaya). Atu pernah lari ke KL, jadi gelandangan dalam dua atau tiga hari.
“Dia pergi KL sebab ikut ejen. Di KL dia kerja sebagai pengawal pondok (guard) tapi tak dibayar gaji selama beberapa bulan. Ada juga kerja lain dia buat.
Arwah bapa kata tak boleh jadi, arwah minta saya pergi KL ambil Atu bawa balik kampung semula. Arwah dengan ibu minta pujuk Atu supaya balik semula ke Sabah,” katanya menerusi podcast Raja Lawak.
Lebih teruk, Atu juga hampir terjerumus dengan gelaja dadah disebabkan tersilap memilih kawan.
“Aku rasa dia merajuk dan lari sebab tak selesa duduk di kampung. Atu jenis orang yang kuat bekerja, tetapi duit yang dia dapat tu tak tahu pergi ke mana.
Jadi, dia sentiasa rasa tak cukup duit. Sebab itu dia cari kerja di tempat lain yang boleh dapat banyak duit.
“Dia hampir terjerumus dalam dunia dadah, memang hampir. Dia salah pilih kawan dahulu,” kongsinya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dengan sikap Sharif yang bertanggungjawab terhadap adiknya namun ada juga berpendapat dia tidak sepatutnya membuka aib adik beradiknya kepada khalayak.
Bagus Sharif nampak bertanggungjawab terhadap adik beradik tapi pelik kenapa dia perlu cerita aib tersebut, tak faham apa motifnya,” komen seorang netizen.
“Rasanya tak perlu canang kot, Atu sendiri tidak pernah dedah apa-apa, risau aib adik beradik pun dilondehkan,” ujar seorang pengguna media sosial. – HIBGLAM