Perginya ‘Lion of the Malaysia Music’

LAGU yang tidak mementingkan mutu penciptaan tidak akan bertahan lama.”

Begitulah ungkapan yang pernah keluar dari bibir maestro muzik tersohor, Tan Sri Ahmad Nawab, sekali gua membayangkan ketelitian beliau dalam dunia seni muzik sejak tahun 1950-an lagi.

‘Menyinga’ menguasai lebih dua dekad industri muzik tanah air, paling cemerlang antara 1970-an hingga 1980-an bahkan terheret sehingga awal 1990-an, lagu-lagu yang terlahir daripada tintanya adalah bahasa yang tuntas dengan cinta, seni dan pola Melayunya.

Semua itu menjadikan irama beliau tidak pernah terpadam oleh waktu biarpun evolusi dunia muzik menyaksikan kemasukan pelbagai nuansa, rock, balada Indonesia mahupun K-pop.

Dari jiwa seorang komposer yang turut digelar ‘Lion of the Malaysia Music’ itu, karyanya didendangkan bukan penyanyi sembarangan.

AHMAD Nawab mencipta karya-karya hebat yang malar segar dan terus menjadi siulan hingga kini.

Bayangkan, tidak sekadar Ramlah Ram, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Sudirman Arshad, lagu-lagu beliau pernah mengisi portfolio Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma malah sempat mekar bersama bintang di tanah Jawa, Broery Marantika dan Hetty Koes Endang.

Jika dihitung, sepanjang tempoh melayari usia seninya, beliau telah menghasilkan lebih 2,000 lagu selain menerbitkan ratusan album penyanyi tempatan.

Namun bagai disebutkan, demi kualiti dan kepuasan, beliau sangat menjaga hasil kerja bahkan dalam satu temu bual, Ahmad Nawab pernah menyerahkan kembali bayaran sebanyak RM22,000 sebagai upah pembikinan dua lagu untuk seorang artis hanya kerana ketandusan ilham.

Berterus terang

Tanpa kenal karakter si penyanyi menyukarkan beliau mencanai idea dan dengan terpaksa beliau rela berterus-terang biarpun wang sebanyak itu harus dipulangkan kepada penyanyi terbabit.

JAMAL Abdillah antara penyanyi yang terdidik dan membesar dengan lagu-lagu sentuhan Ahmad Nawab sejak album pertama, Sendiri, Derita Cinta dan banyak lagi.

Selain bersikap rendah diri, figura asal Pulau Pinang yang memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun itu bukan pemuzik yang mengejar pengiktirafan.

Begitupun, tokoh yang dilahirkan pada 6 April 1932 pernah dianugerahkan gelaran Seniman Negara ke-7 daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006.

Sepanjang kariernya, Allahyarham yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun turut memenangi pelbagai trofi seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Apa pun, paling diingati ramai adalah kisah persahabatannya dengan P. Ramle serta penghibur tersohor Indonesia, mendiang Broery Marantika.

Menerusi cerita Ahmad Nawab sendiri, beliau mengenali dan berkawan baik dengan P. Ramlee sejak sekolah rendah kerana mereka tinggal di Kampung Kebun Lama dan satu sekolah di Francis Light School, Pulau Pinang.

AHMAD Nawab semasa menerima Anugerah Seniman Negara pada 2006.

Ahmad Nawab bahkan pernah menyewa rumah P. Ramlee semasa mula-mula menetap di Kuala Lumpur.

Rakan baik P. Ramlee, Broery

Menurutnya, selepas zaman sekolah mereka bertemu semula di Singapura dan kemudian P. Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1966 mengarah filem Do Re Mi, bahkan Ahmad Nawab mencipta lagu Bossanova yang dinyanyikan Allahyarham Puan Sri Saloma.

Kongsinya, mereka turut bekerjasama dalam filem Nasib Do Re Mi, Sesudah Suboh dan Masam-Masam Manis.

P. Ramlee yang membawakan watak sebagai pemain saksofon sebenarnya memerlukan bantuan Ahmad Nawab untuk menjadi pemuzik latar kepada tiupan alat muzik itu.

Kongsinya lagi, hari paling menyedihkan adalah 29 Mei 1973 kerana pada tarikh itu beliau kehilangan sahabat baiknya itu yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Bagaimana pun kesunyiannya terubat apabila ditemukan dengan Broery selepas diberi kepercayaan mencipta lagu untuk filem Hapuslah Airmata Mu iaitu Sabar Menanti.

FOTO kenangan Ahmad Nawab bersama sahabat karibnya yang juga penyanyi terkenal seberang, Brorey Marantika.

Persahabatan mereka terjalin selepas tiga tahun pemergian P. Ramlee dan selepas itu mereka kerap berhubung.

Pemergian Broery pada 7 April 2000 pada umur 57 tahun membuatkan Ahmad Nawab sekali lagi kehilangan kawan baik.

Kini, tiada lagi kelibat ikon dunia penciptaan lagu itu yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves Gombak pada 3.15 petang kelmarin (Ahad).

Begitupun, legasi Khan yang terpatri hasil kerja seni bersama dua lagi adiknya termasuk Allahyarham Akbar Khan yang turut aktif dalam dunia muzik akan terus diingati ramai.

Bapa muzik negara

Dalam kalangan artis, penyanyi Ramlah Ram yang selama hayat seni banyak menumpang tuah daripada Ahmad Nawab menganggap Allahyarham seperti bapa yang menjaga dirinya sejak awal penglibatan dalam industri.

“Saya rasa kehilangan yang sangat besar. Allahyarham seorang yang sangat bertanggungjawab.

Saya rindukan proses rakaman bersamanya. Orang cakap dia garang tetapi bagi saya dia seorang yang kelakar dalam tegas,” katanya.

SAKSOFON menjadi instrumen muzik paling penting buat Ahmad Nawab. Alat muzik itu bahkan cukup sinonim dalam setiap penampilan Ahmad Nawab.

Penghibur Seberang, Hetty Koes Endang pula mengakui karya ciptaan Allahyarham mempunyai keunikan yang sentiasa meresap ke dalam jiwanya.

Saya memanggil arwah sebagai Ahmad dan pernah berkata kepada arwah, apa sahaja lagu ciptaannya yang dinyanyikan pasti masuk ke dalam hati,” katanya.

Penyanyi Datuk Khadijah Ibrahim pula menyifatkan mentornya itu sebagai bapa kepada muzik negara atas jasa dan sumbangan besar selama ini.

Tidak terbalas jasa dan sumbangan arwah kepada kami. Beliau mentor dan bapa muzik di negara kita selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” ujarnya.

Sungguh, terlalu banyak hal hebat yang hendak diceritakan tentang bunga bangsa terbilang negara yang satu ini kepada generasi sekarang.

Biar sudah dibatasi alam, cinta dan aliran seninya tidak akan mati sampai bila-bila. Al-fatihah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok