‘Pergi jadi influencer, pengadu isu buli tiada mentaliti orang seni’

JIKA tidak sedia jadi pelakon, pergi jadi influencer”.

Demikian kata pelakon Nabila Huda apabila diminta mengulas tentang isu buli di set penggambaran yang disuarakan segelintir pelakon muda baru-baru ini.

Menurut Nabila Huda Suhaimi, 39, kenyataan yang dikeluarkan pelakon baharu itu bukan sahaja memberi impak negatif kepada industri seni tanah air tetapi menandakan bahawa dia tidak bersedia untuk menjadi pelakon.

“Saya tidak terkilan kerana saya tidak baca berkenaan hal tersebut dan kenyataan yang dibuat itu sampah. Perkara peribadi tidak patut dikeluarkan. Isu buli tidak berlaku pun di set penggambaran. Selalunya kami semua gembira sahaja. Mungkin orang itu yang saya rasa tidak bersedia untuk jadi pelakon. Lebih baik anda cari kerjaya lain, pergi jadi influencer.

“Mungkin anda tidak sesuai bekerja dengan abang dan kakak di set penggambaran kerana pemikiran anda berbeza dengan kami. Mentaliti anda bukan mentaliti orang seni,” kata Nabila ketika ditemui di set penggambaran filem Gayong  di TUDM, Sungai Besi hari ini.

Jelasnya, setiap anak seni terutama bergelar pelakon berusaha keras untuk menempah nama, justeri itu pendatang baharu dinasihatkan tidak memberi sebarang kenhyataan yang boleh memberi impak negatif kepada industri seni tanah air.

“Jangan bawa perkara negatif yang berlaku di set keluar, selalunya di set okey sahaja. Jangan keluarkan kenyataan yang boleh orang luar pandang tidak baik tentang industri kita. Setiap pelakon bersungguh-sungguh untuk bina nama, semua sayang dengan kerjaya mereka. Jangan disebabkan kenyataan anda itu buat orang pandang buruk dengan kami (pelakon). Berhenti buka pekung sendiri kepada orang luar, jangan biar orang pandang buruk pada kita,” tutur Nabila.

Menyifatkan pelakon zaman kini terlalu manja, Nabila mengakui, dia juga pernah dimarahi oleh pengarah suatu ketika dahulu, namun tidak menyimpan rasa marah sebaliknya menganggap itu sebahagian daripada proses pembelajaran.

“Saya rasa budak zaman sekarang terlalu manja, tidak kuat menghadapi cabaran dan kesusahan. Saya pernah lalui situasi dimaki oleh pengarah. Saya sampai kena carut. Kalau budak sekarang kena, silap-silap pengarah itu sudah masuk penjara. Apa yang berlaku di set penggambaran adalah pengalaman untuk setiap pelakon. Tanpa pengalaman itu mereka tidak berada di satu tempat yang lebih baik.

“Anggap pengarah atau kru di lokasi sebagai ibu bapa yang sedang mengajar kita. Mereka marah untuk naikkan semangat kita sebagai seorang manusia,” ujar Nabila. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok