Penyayang, Kim Soo-hyun bintang premium termahal

MUSTAHIL andai fanatik K-drama tidak mengenali figura tampan bernama Kim Soo-hyun. Dia ibarat bintang yang bersinar terang di persada seni Korea Selatan.

Terus mendakap tuah, aktor berusia 36 tahun itu ampuh menambat hati jutaan peminat di seluruh dunia, bukan sekadar melalui ketampanan malah menerusi versatiliti bakat lakonan yang selayaknya dipuji.

Mula mencipta fenomena menerusi drama ikonik seperti My Love from the Star dan It’s Okay to Not Be Okay sehingga karya terbaharunya Queen of Tears, Soo-hyun adalah definisi sempurna anak seni sejati.

Ketelitian dan kesungguhan dalam menyampaikan emosi membuatkan setiap watak yang diamanahkan meninggalkan kesan dalam hati penonton.

NAMA meledak dalam drama Queen of Tears, Soo-hyun mahu dikenali sebagai lelaki penyayang sebagaimana wataknya dalam naskhah tersebut.

Baru-baru ini, kehadiran jejaka tinggi lampai itu ke Malaysia sempena Cuckootopia Music Fest mencipta gelombang ‘euforia’ luar biasa.

Mana tidaknya, lebih 18,000 peminat enggan melepaskan peluang menyaksikan sendiri aura bintang yang telah melakar sejarah sebagai ikon yang mendefinisikan era kegemilangan industri hiburan Korea Selatan.

Bukan sekadar kunjungan biasa, kehadiran Soo-hyun turut menjadi simbol hubungan erat antara dirinya dan jenama Cuckoo yang kembali menobatkannya sebagai duta global selepas 10 tahun.

Pertama kali jejak Malaysia

Pengakuannya bahawa itu adalah kunjungan pertama ke Malaysia, tetapi terasa seperti pulang ke rumah, menggambarkan kerendahan hati yang memahat kekal namanya di jiwa peminat.

Dia bahkan meluahkan rasa terharu dengan sambutan hangat khalayak sebaik tiba di bumi Malaysia, Jumaat lalu.

“Siapa yang datang ke lapangan terbang semalam (Jumaat)? Ini kali pertama saya ke Malaysia, tetapi terasa seperti berada di rumah sendiri.

Terima kasih banyak-banyak! Walaupun hari ini hujan, semoga kamu semua berseronok hari ini,” katanya menyapa penonton dengan senyuman menawan yang mencairkan hati peminat.

REZEKI melimpah-ruah dengan deretan naskhah hit, Soo-hyun merupakan pelakon dengan bayaran tertinggi di Korea Selatan.

Acara yang berlangsung dari pukul 5 petang hingga tengah malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Joe Flizzow, Jaclyn Victor, Dolla, Tomok, Siti Nordiana dan Bunkface.

Pada sesi soal jawab santai, ‘oppa’ putih gebu itu turut berkongsi petua untuk kekal bermotivasi selain memberitahu mengenai projek terbaharunya yang bakal menemui peminat tidak lama lagi.

“Bagi saya, amat penting untuk menukar persekitaran supaya terus segar. Saya sentiasa mencuba perkara baharu, baik dalam nyanyian mahupun lakonan.

Cara sebegitu saya akui memang memberi banyak inspirasi dan semangat kepada saya.

“Untuk perkembangan lain, saya kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama baharu yang akan ditayangkan menerusi Disney tahun depan,” dedahnya.

Penyayang

Masih dalam konteks karier lakonan, pemilik Ijazah Sarjana Filem dan Teater itu menaruh harapan untuk dikenang sebagai lelaki penyayang, seiring dengan karakter ikoniknya, Baek Hyun-woo dalam drama sensasi Queen of Tears.

Drama yang ditayangkan pada April lalu bukan sahaja memikat hati jutaan penonton malah mencipta rekod baharu sebagai siri paling banyak ditonton dalam saluran TvN memadamkan pencapaian gemilang Crash Landing on You pada2019.

“Saya mahu diingati sebagai lelaki yang penuh kasih sayang sebagaimana watak saya dalam Queen of Tears.

Keperibadian yang sopan dan sarat dengan nilai kemanusiaan adalah sesuatu yang saya ingin tinggalkan sebagai warisan peribadi,” katanya kepada HibGlam.

Menyambung tentang projek terbaharu, Soo-hyun bakal membintangi drama berjudul Knock Out yang bakal mendedahkan sisi berbeza dirinya sebagai seorang anak seni.

“Saya kini sibuk menjalani penggambaran Knock Out yang akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Drama ini merupakan sebuah naskhah istimewa yang begitu dekat di hati saya. Kisahnya memaparkan perjuangan seorang lelaki dan usahawan yang bermula dari bawah, berusaha merealisasikan impian.

“Jalan ceritanya sangat menyentuh perasaan, saya harap peminat akan sama-sama teruja menyaksikan dimensi baharu ini,” katanya sambil tersenyum.

BAKAL tampil dengan drama terbaharu berjudul Knock Out, Soo-hyun bakal memperlihatkan sisi berbeza lakonannya yang belum pernah disaksikan penonton.

Kejayaan demi kejayaan yang diraih menjadikan Soo-hyun antara pelakon paling berpengaruh dan diminati dalam dunia K-drama.

Justeru, tidak hairan apabila lelaki kelahiran Seoul itu menjadi rebutan syarikat produksi terkemuka, hingga diiktiraf sebagai pelakon menerima bayaran tertinggi di Korea Selatan.

Menurut laporan media, penglibatan dalam Queen of Tears menyaksikan Soo-hyun dibayar RM2.8 juta untuk sebuah episod menjadikannya pelakon dengan gaji tertinggi dalam sejarah K-drama.

Sebagai perbandingan, menerusi drama One Ordinary Day yang disiarkan pada 2021, Soo-hyun dilaporkan menerima bayaran RM1.7 juta setiap episod.

Ini bermakna, dalam tempoh tiga tahun, bayarannya meningkat hampir 60 peratus sekali gus memperkukuhkan statusnya sebagai bintang premium di Korea Selatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok