KEMENTERIAN Komunikasi menyarankan individu yang menjadi mangsa buli atau dianiaya dalam industri seni tempatan agar membuat laporan polis bagi tujuan keselamatan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, perbuatan seumpama itu perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkannya menjadi satu budaya.
“Kita perlu pastikan tempat kerja selamat bagi semua pengkarya, bukan hanya pelakon sahaja malah semua yang terlibat dalam produksi. Mereka ini perlu dihormati dan diberi perhatian.
Pada masa sama kita wajib fahami batas-batas dan juga hak masing-masing andai ada individu berasakan mereka mungkin dianiaya atau dibuli. Maka, dari segi perundangan mereka boleh buat laporan polis.
“Pada masa sama saya mohon agar semua pihak mengambil pendekatan dengan cara berusaha mendamaikan situasi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), semalam.
Tambah Fahmi, semua pihak dalam kalangan penggiat seni seharusnya peka dan prihatin terhadap impak buruk insiden buli.
katanya lagi, industri perfileman tempatan kecil sahaja dan gejala buli akan memburukkan hubungan sesama pengkarya tertutama barisan pelakon baharu dan lama.
Mereka yang terlibat pusing-pusing akan jumpa orang yang sama. Jadi kita kena berkarya dengan baik dan bersikap adil sesama kita. Inilah nasihat saya,” ujarnya.
Isu buli hangat diperkatakan susulan dakwaan beberapa pelakon baharu wujudnya budaya ‘buli-membuli’ dalam kalangan pelakon senior dan junior di set penggambaran hingga ke hari ini.
Isu buli hangat diperkatakan susulan dakwaan beberapa pelakon mengenai wujud budaya ‘buli-membuli’ dalam kalangan pelakon senior dan junior di set penggambaran hingga ke hari ini.
Terdahulu, pelakon Siti Khadijah mendedahkan pernah menjadi mangsa buli di set penggambaran apabila mendapat layanan buruk sebuah produksi termasuk pernah dicampak skrip.
Dalam pada itu, pelakon Alif Muhamin dan pengarah Syafiq Yusof turut mengakui wujudnya gejala buli dalam kalangan pelakon lama dan baharu di set penggambaran.
Bagaimanapun, beberapa sutradara dan pelakon senior seperti Ahmad Idham, Rita Rudaini, Nabila Huda dan Lana Nodin pula menafikan dakwaan itu selain menyifatkan pelakon baharu terlalu manja.
Sementara itu Nadhir Nasar, Adam Lee, Sophia Albarakbah dan Datin Intan Najuwa antara barisan pelakon junior yang menepis wujudnya gejala buli di lokasi penggambaran serta menasihati pelakon baharu bersifat profesional. – HIBGLAM