‘Pemergian S Atan kehilangan besar buat industri

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan pemergian komposer legenda, Allahyarham Datuk S. Atan sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik Malaysia.

Siti, 45, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dalam satu hantaran yang dibuat dalam akaun Instagram.

“Saya dan seluruh keluarga SN Legacy Sdn Bhd serta Situ Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk  S Atan di atas pemergian insan tersayang.

“Saya secara peribadi merasakan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik di atas sumbangan beliau dalam penciptaan lagu-lagu tradisional. Saya sangat bertuah kerana dapat menyanyikan lagu-lagu beliau yang jarang sekali saya tinggalkan dalam mana-mana persembahan atau konsert lagu-lagu tradisional.

“Banyak lagu ciptaan beliau saya rakamkan seperti Joget Kasih Tak Sudah, Berpantun Kasih, Joget Menanti Kasih, Joget Senyum Memikat, lagu-lagu raya dan beliau turut menjadi penerbit kepada lagu-lagu tradisional di dalam album saya.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al – Fatihah,” tulisnya.

Allahyarham S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, 75 meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung semalam. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok