Kisah epik pelayaran Enrique de Malacca, hamba Melayu pertama yang mengelilingi dunia kini diangkat dalam teater Pelayaran Panglima Awang pada 2 dan 3 November ini.
Teater yang dipentaskan diAuditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu adalah naskhah yang diadaptasi daripada novel, Panglima Awang, karya Harun Aminurrashid dan telah diolah semula oleh Prof. (Emeritus) Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh.
Sementara skrip teater digarap oleh Anwar Mohd. Zulkifli dan pengarahan dikemudi oleh Hazzaley Abu Bakar yang menjanjikan persembahan penuh mendebarkan dengan penampilan barisan pelakon veteran dan baharu tanah air.
“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi membawa mesej penting tentang kehebatan anak Melayu dalam sejarah pelayaran dunia,” kata Hazzaley.
Persembahan ini merupakan hasil kerjasama Pisang Production dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, dengan sokongan utama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Bukan itu sahaja, teater ini turut mendapat dokongan beberapa rakan strategik termasuk UPNM dan institusi pendidikan tempatan lain dalam usaha memartabatkan seni persembahan dan sejarah Melayu.
Antara pelakon yang membintangi teater ini termasuk nama-nama besar seni teater seperti Ito Husin, Dean Sitara, Anwar Pisang dan Ruby Wahid.
“Kami berharap teater ini dapat membuka mata generasi muda tentang kehebatan sejarah maritim Melayu yang seringkali terpinggir dalam lipatan sejarah,” tambah Anwar Mohd. Zulkifli.
Orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan ini pada dua sesi berbeza iaitu 2 November (8.45 malam) dan 3 November (2.45 petang). Tiket boleh diperolehi melalui imbasan kod QR yang terdapat pada poster promosi atau menghubungi pihak penganjur. -HIBGLAM