Orang Malaysia semuanya indah – Arijit Singh

MEMUKAU dan bertenaga. Begitulah gambaran persembahan tanpa henti selama empat jam penyanyi kelahiran India, Arijit Singh yang berjaya memukau lebih 10,000 pemuja di segenap ruang stadium Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Tirai persembahan konsert Arijit Singh Live in Malaysia yang dibuka sekitar pukul 8 malam itu diwarnai pelbagai nuansa ritma Bollywood dengan menggabungkan alat muzik moden serta klasik seperti gitar elektrik, tabla dan santoor.

Tentu sahaja persembahan Arijit itu sangat dinantikan peminat sementelah kali terakhir beliau ke negara ini pada 2014.

Asimilasi muzik dan listrik suara Arijit memberikan pengalaman luar biasa buat penonton sehingga mampu bertahan menyaksikan persembahan tersebut tanpa jemu.

ARIJIT terkejut dengan sambutan rakyat Malaysia yang disifatkannya sungguh di luar jangkaaan.

Arijit membuai emosi penonton dengan mendendangkan hampir 50 buah lagu yang dipetik daripada filem popular antaranya Ae Dil Hai Mushkil, Tum Hi Ho dari filem Aashiqui 2, Bekhayali (Kabir Singh), Kesariya (Brahmastra), Chaleya (Jawan) dan banyak lagi.

Penonton kemudian bersorak tidak keruan apabila lagu ‘berhantu’ Janam Janam dan Gerua dinyanyikan. Bagaikan satu kumpulan koir, penonton tidak melepaskan peluang untuk turut menyanyikan lagu tersebut yang dipetik daripada filem Dilwale, lakonan Shah Rukh Khan, Kajol, Varun Dhawan dan Kriti Sanon.

Reaksi luar biasa penonton membuatkan penyanyi berusia 37 tahun itu terharu dan beberapa kali mengucapkan terima kasih. Tentu sahaja perkara itu akan menjadi kenangan manis untuk di pulang Arijit sebagai momen indah di Malaysia.

“Terima kasih kepada kalian semua. Saya mendoakan segala apa yang anda idamkan tercapai dan semoga kalian semua dirahmati. Kenangan saya bersama peminat di Malaysia sangat istimewa.

“Kalian semua sungguh indah. Terima kasih sokongan kalian. Saya rasa seperti sukar untuk berpisah dengan kalian. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas sokongannya,” ucap Arijit.

Istimewa mengenai konsert itu, Arijit bukan sahaja melunaskan persembahan di atas pentas, malah dia sempat ‘turun padang’ dan bertemu terus dengan peminat di hadapan pentas.

Biarpun berlaku sedikit kekecohan, namun pihak pengawal keselamatan berjaya memastikan penonton tetap tenang dan tidak melakukan sebarang tindakan agresif.

Dalam beberapa minit, Arijit dilihat kembali semula ke atas pentas dan sesekali dilihat meluangkan masa untuk menurunkan tanda tangan sebagai cenderahati buat peminat.

PERSEMBAHAN hebat Arijit mendapat pujian ribuan penonton.

Selain kertas dan buku, peminat turut memberikan majalah, poster, sarung telefon dan beg tangan sema-mata untuk mendapatkan tanda tangan.

Keindahan konsert tersebut turut diserikan dengan pancaran laser dan pencahayaan yang membuatkan mata penonton terpaku di pentas. Sesekali peminat turut tidak melepaskan peluang untuk berdansa dan bersorak tidak ubah seperti babak temasya dalam filem Bollywood.

Dalam pada keseronokan itu, terdapat juga insiden apabila beberapa penonton terlalu teruja berpeluang menyaksikan persembahan Arijit di depan mata sehingga berdiri di penghadang stadium di tingkat dua.

Selepas ditegur oleh Arijit, pengawal keselamatan berjaya mengawal keadaan dan bersyukur tiada sebarang kejadian buruk berlaku.

Namun, secara keseluruhan konsert Arijit yang dibawakan oleh Hitman Solutions itu memberikan kepuasan dari segi audio, pentas dan keselesaan penonton. Pastinya, Arijit akan berkunjung lagi di negara ini kerana sambutan luar biasa daripada audiens. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok