Nyaris tidak sertai SFMM39, Hafiz Suip jaga ibu sakit

PENYANYI Hafiz Suip mendedahkan nyaris tidak menyertai Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) berikutan berat hati meninggalkan ibu yang kini terlantar sakit di Sarawak.

Namun, kata Hafiz atau nama penuhnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip, galakan dan sokongan insan paling disayanginya itu menguatkan semangatnya untuk terbang ke Kuala Lumpur bagi mempersembahkan lagu Terus Bersinar ciptaan Mass Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Ab Rahman.

Ibu saya doakan yang terbaik untuk separuh akhir ini. Dia minta saya jangan kecewakan peminat, itu yang buatkan saya kuatkan semangat muncul juga.

“Tadi pun sebelum tampil di pentas saya sempat buat panggilan video dengan ibu. Dia sekarang ditemani adik dan ayah kalau saya tiada di sana. Ini hari kelima ibu di hospital, kami bergilir-gilir jaga,” ujarnya.

Menurut Hafiz lagi, ibunya, Halizawati Salleh, 60, dimasukkan ke hospital kerana ada masalah paru-paru berair selain turut menghidap penyakit kencing manis serta masalah jantung yang memerlukan pengawasan rapi serta sokongan keluarga.

Saya kini sudah kembali menetap di Kuching untuk menjaga orang tua saya terutama ibu yang menghidap beberapa penyakit.

“Sekarang ini ibu saya masih dirawat di hospital kerana mengalami paru-paru berair yang turut memberi kesan terhadap jantung.

Menurut doktor, tiga daripada empat injap jantungnya sudah kurang berfungsi ditambah sekarang ibu pun ada kencing manis, jadi itulah yang membuatkan saya menetap di Kuching,” katanya ketika ditemui selepas Semi Final Muzik Muzik 39 (SFMM39), malam tadi.

Begitupun, kata Hafiz, isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah dan dua putera mereka masih menetap di Kuala Lumpur kerana terikat dengan jadual persekolahan.

Hafiz turut berharap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Saya mengharapkan kawan-kawan dan peminat mendoakan kesihatan ibu bapa saya. Semoga mereka sentiasa dalam perlindungan Allah, insyaAllah,” katanya.

Sebagai rekod, sepanjang penganjuran AJL, Hafiz pernah empat kali menjulang trofi Vokal Terbaik selain mengguli trofi utama serta Persembahan Terbaik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok