Nyanyian sumbang, grup K-pop teruk dihentam

JIKA di Malaysia, nama Fazura baru-baru ini memanas dengan insiden suara sumbang yang mengundang kutukan ramai.

Hakikatnya, penyanyi atau selebriti bersuara sumbang bukankah sesuatu yang aneh.

Selebriti k-pop juga tidak terkecuali menjadi bahan kritikan walaupun ada di antara mereka memang sudah merakamkan album dan rancak mengadakan konsert jelajah di sana sini.

Lebih mengejutkan, rata-rata merupakan ahli dalam kumpulan penyanyi yang ramai mengetahui kebanyakannya boleh melantunkan vokal dengan baik.

Daebak minggu ini menyenaraikan beberapa kumpulan K-pop yang pernah dikecam dek persembahan vokal yang mengecewakan.

Twice

SUDAH berkali-kali kumpulan Twice menerima kritikan hebat daripada netizen selepas setiap kali membuat persembahan secara langsung.

Dalam sebuah acara, netizen berpendapat lagu I Can’t Stop Me terlalu tinggi untuk Nayeon menyanyikan sebahagian besar lagu tersebut.

Dia juga kelihatan menggeletar untuk mencapai not tinggi ketika menyampaikan lagu tersebut walaupun sering dipuji memiliki vokal lebih baik berbanding ahli lain.

Malah, netizen juga mengkritik Tzuyu dan Momo yang tidak mampu memperbaiki sebutan Korea walaupun sudah bertahun-tahun menetap di negara kimchi tersebut.

Le Sserafim

PADA April lalu, kumpulan Le Sserafim menerima kritikan yang sangat hebat gara-gara persembahan yang teruk di pentas festival Coachella 2024 .

Kumpulan dianggotai enam ahli itu juga pernah dikecam semasa mengadakan persembahan encore dalam rancangan M Countdown pada Februari.

Kecaman tersebut tertumpu kepada seorang ahlinya iaitu Sakura yang dianggap memiliki vokal lemah walaupun berpengalaman luas dalam industri seni.

Netizen bagaimanapun berharap kumpulan wanita itu menambahbaik persembahan vokal agar dapat terus mengembangkan lagi sayap dalam bidang seni.

IVE

MESKIPUN menjadi antara kumpulan wanita terkemuka, IVE tidak asing lagi dengan kritikan mengenai nyanyian secara langsung.

Sebelum ini, beberapa ahli IVE terlibat dalam isu ‘lip sync’ yang mencetuskan perbalahan dalam media sosial mengenai kemahiran nyanyian mereka.

Tidak patah semangat, IVE kemudian bangkit dengan memperbaiki vokal mereka dan dapat menyampaikan persembahan secara langsung dengan baik.

Fromis_9

MEMENANGI tempat pertama dalam rancangan The Show pada 2022 menerusi lagu DM bukan satu pengecualian untuk kumpulan fromis_9 daripada dihentam dek kelemahan vokal mereka.

Kumpulan dengan lapan ahli itu dikecam hebat selepas ramai tidak berpuas hati dengan persembahan encore mereka.

Difahamkan, Fromis-9 langsung tidak menari semasa membuat persembahan tetapi menyanyi dalam nada rendah selain tidak dapat mencapai not tinggi.

Dalam masa sama, beberapa ahlinya juga tidak menyanyi mengikut rentak.

Menurut netizen Korea, itu adalah persembahan encore paling teruk yang pernah disaksikan selama ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok