‘Nama belum cukup besar untuk buat konsert’   

KETIKA ramai penyanyi muda berlumba-lumba mengadakan konsert, lain pula pendirian pendatang baharu, Najmi Niery yang memilih untuk menolak sekiranya ditawarkan peluang sebegitu ketika ini.

Bukan kerana sifat angkuh atau cerewet, dia menegaskan masih belum bersedia untuk menghiburkan penonton dalam sebuah konsert berskala besar apatah lagi baru setahun jagung bergelar penyanyi.

Sedar kemampuan diri, penyanyi berusia 23 tahun itu berkata, dia mahu terlebih dahulu menimba pengalaman, selain baru menghasilkan empat single.

Tidak berani dan akan tolak tawaran tersebut buat masa ini sebab masih terlalu baru dalam industri.

“Saya hanya ada empat lagu, album sendiri pun belum ada. Mustahil untuk ada konsert solo,” katanya kepada HibGlam pada showcase Najmi Niery The Intimate Mini Show di Liberal Latte, Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

MESKI meledak dengan lagu galau, Najmi mahu dikenali sebagai penyanyi versatil. 

Pelantun lagu Dekati itu berkata, sebagai artis baharu, showcase atau persembahan berskala kecil bersesuaian dengan dirinya.

Bukan tidak mahu memiliki impian besar, dia perlu berpijak di bumi nyata dan enggan melakukan sesuatu yang boleh memakan dirinya.

Kalau nak mengadakan konsert, jualan tiket pasti tidak akan ‘sold out’ sebab nama belum cukup besar.

“Namun, saya tidak akan menolak sekiranya ditawarkan menjayakan konsert membabitkan penyanyi lain.

Kalau konsert solo, saya memang belum bersedia. Buat apa nak malukan diri sendiri,” jelasnya.

Versatil

Melihat semula perjalanan seni yang mula berkembang tahun lalu dan meledak dengan lagu bergenre balada, dia seboleh-bolehnya menolak untuk dilabel sebagai penyanyi galau.

Ujarnya, dia enggan terikat dengan satu genre sahaja dan mahu dilihat sebagai penyanyi versatil.

Saya tak mahu dicop penyanyi galau sebab nak mencuba pelbagai genre muzik sekali gus meneroka kemampuan diri.

“Apa pun, tak dinafikan lagu-lagu galau yang meletakkan saya di sini hari ini selain memiliki kelompok peminat sendiri,” katanya lagi.

MENGALUNKAN seleksi lagu galau di Najmi Niery The Intimate Mini Showcase baru-baru ini.

Ketika ini, dia juga berharap orang ramai akan terus memberi peluang dan ruang untuknya terus mengembangkan bakat.

Dalam masa sama, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui penggunaan perkataan Bahasa Indonesia dalam video muziknya adalah bertujuan menarik lebih ramai peminat dari negara jiran.

“Kalau ikutkan jumlah pendengar lagu-lagu saya memang ramai dari Indonesia.

“Jadi, memang dalam usaha tembusi pasaran di sana dan pastinya saya teringin berduet dengan Kaleb J, Meely Goeslaw serta Rizky Febian,” tutur beliau.

Terdahulu, menerusi persembahan berdurasi 90 minit pada minggu lalu, Najmi menghiburkan seramai 80 peminat setia dengan lagu galau atau patah hati karya sendiri dan penyanyi lain.

Antara lagu didendangkan termasuklah Sebentar, Bersamamu, Dekati, Memori Singkat, Sedetik Lebih, Hanya Memuji, Takkan Terganti, Firasat, Ayat-Ayat Cinta, Sampai Menutup Mata sebelum menutup persembahan dengan Hari Tua. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok