MALANG tidak berbau, penyanyi Syura Badron memaklumkan suaminya, Muhammad Farizat sedang menerima rawatan di hospital akibat melecur di bahagian muka, kaki dan tangan gara-gara letupan tong gas.
Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 38, memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan suaminya dan menganggap ada hikmah di sebalik ujian yang berlaku.
Dengan berat hati saya ingin memaklumkan suami saya, Farizat dimasukkan ke hospital kerana melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak yang berlaku di tempat penginapan kami di Perlis pada malam Jumaat yang lepas.
“Mohon doa dari semua semoga diberikan kesembuhan buat suami dan diberikan kekuatan menghadapi ujian Allah ini.
“Semoga ada hikmah yang baik disebalik ujian ini, Allah maha baik,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Dalam masa sama, pelantun lagu Ego itu menyifatkan suaminya sebagai lelaki hebat yang pernah dikenalinya kerana masih mampu tersenyum walaupun sedang menahan kesakitan.
“Buat suami saya, awak lelaki yang sangat hebat pernah saya jumpa.
Dalam menahan sakit awak masih lagi mampu tersenyum untuk saya dan anak-anak.
“Terima kasih sebab bertahan dan semoga Allah angkat sakit yang awak rasa dan diberikan kesembuhan secepatnya, semoga jadi asbab pahala yang besar untuk awak,” ujarnya.
Syura dan Farizat mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Umar Eussof yang kini berusia satu tahun. – HIBGLAM