‘Misha, label yang mahu tukar penyanyi, kami tiada masalah’

TIDAK menjejaskan reputasi Anugerah Juara Lagu (AJL), Primeworks Studios menjelaskan pertukaran penyanyi membawakan lagu yang mara dalam pertandingan tersebut adalah perkara biasa.

Penerbit Eksekutifnya, Nurhul Huda Khalid berkata, pihak penganjur tidak boleh memaksa penyanyi asal kerana sebarang keputusan bergantung kepada syarikat rakaman atau komposer.

“Pertukaran penyanyi pernah berlaku sebelum ini, bukan isu. Semuanya terpulang kepada keputusan komposer dan label.

Kami tidak boleh memaksa penyanyi asal sampaikan lagu kerana sejak awal pun tiada paksaan untuk menghantar penyertaan.

“Jadi tiada masalah di pihak kami kerana pertandingan ini mengangkat lagu, komposer dan penulis lirik, tidak kira lagu yang dipertandingkan disampaikan penyanyi asal atau gantian,” katanya selepas saringan pertama SFMM39, malam semalam.

Ini susulan lagu Masihkah Ada Rasa Itu nyanyian asal Misha yang juga ciptaannya bersama Sharon Paul disampaikan penyanyi gantian iaitu Vanessa Renauld.

Ketiadaan Misha selaku penyanyi asal menimbulkan rasa kecewa peminat, namun kesedihan itu terubat apabila Vanessa berjaya menyampaikan lagu itu dengan cemerlang.

Pada masa sama Nurhul mengakui produksi sudah memujuk penyanyi tersebut meneruskan cabaran tetapi Misha dan label sepakat menyerahkan amanah kepada Vanessa.

Pihak kami terima surat daripada label Misha Omar yang menyatakan penyanyi itu sudah terikat dengan komitmen lain. Kami dimaklumkan beberapa hari sebelum SFMM39.

“Memang ada sesi memujuk dengan pihak Misha, namun kami akur dengan keputusan mereka dan tiada masalah pun kalau dia mahu membuat persembahan andai lagu itu layak ke malam kemuncak nanti,” katanya.

Sebagai rekod, saringan pertama SFMM39 menyaksikan 17 lagu dipersembahkan, manakala saringan kedua malam ini pula13 lagi karya diperdengarkan sekali gus melengkapkan 30 lagu yang mara ke separuh akhir.

Begitupun, sebanyak 10 lagu sahaja bakal diumumkan sebagai finalis AJL39 yang dijadualkan berlangsung awal 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok