Menyanyi tanpa cipta sensasi, Raisa ada kelas

RASANYA, saya perlu ada konsert secara tahunan di Malaysia. Kalau setahun tiada seperti tidak afdal.”

Itu antara ungkapan penyanyi Raisa semasa pertemuan dengan wakil media sebelum melangsungkan konsert di Megastar Arena, Kuala Lumpur (KL) hujung minggu lalu.

Malaysia sendiri sudah diibaratkan sebagai rumah kedua penyanyi kelahiran Jakarta itu apabila sudah tiga tahun berturut-turut mengadakan konsert di sini.

Bervokal lunak bahkan hadir dengan lagu memikat jiwa, tidak hairanlah pemilik nama lengkap Raisa Andriana itu mampu memikat hati setiap penonton.

Bahkan, penonton yang pertama kali hadir ke konsertnya pada Ahad lalu terus jatuh cinta dengan kemerduan lantunan suara wanita berusia 34 tahun itu.

TIDAK afdal bagi Raisa jika tak mengadakan sebarang konsert di Malaysia yang dianggap sebagai acara tahunan.

Bercakap mengenai konsert, Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur melabuhkan tirai dengan memukau pengunjung selama dua jam bersama 20 seleksi karya hitnya.

Muncul berbalut gaun labuh rona merah jambu, gaya Raisa membuatkan peminat tidak senang duduk mahu melepaskan segala emosi pada malam tersebut.

Tidak menunggu masa lama, Raisa langsung menyampaikan lagu Teristimewa, Pergilah, Jatuh Hati dan Tak Berharap Lagi.

Baru beberapa dendangan, peminat rata-ratanya sangat berpuas hati dengan persembahan kali ini.

Tidak hadir sendirian, Raisa rupa-rupanya diiringi delegasi pemuzik profesional dari Indonesia yang menggandakan lagi impak pada malam Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur.

Suasana tersebut direalisasikan kerana mahu peminat Malaysia menikmati aura sama seperti konsertnya di Stadium Gelora Bung Karno pada awal tahun lalu.

Saya memang mahu bawa pasukan saya dari Indonesia untuk memberi pengalaman menyeluruh kepada peminat di Malaysia.

“Meskipun bukanlah sepenuhnya pasukan saya dapat sertai tetapi saya janji mahu bagi 100 peratus.

Kembalinya saya ke Malaysia membawakan lagu-lagu baharu dan pasti susunan muzik lebih seronok berbanding sebelum ini,” katanya semasa pertemuan dengan wakil media sebelum konsert.

Persembahan diteruskan dengan beberapa lagu berjudul Serba Salah, Bahasa Kalbu dan juga single terbaharunya berjudul Si Paling Mahir yang pertama kali dipersembahkan di atas pentas besar.

Dia juga sempat membawakan lagu bahasa Inggerisnya berjudul Love And Let Go, Usai Di Sini, Tentang Dirimu, LDR dan Kembali yang disampaikan dalam bentuk medley.

Selain kualiti vokal yang memikat hati semua penonton, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga bijak berkomunikasi dengan peminat.

Ernie, Hael

Lebih sejam memukau peminat, kemunculan Ernie Zakri yang berduet bersama Raisa bagi lagu Anganku Anganmu juga menjadi antara momen yang dinanti-nantikan.

ERNIE dan Raisa pertama kali berkongsi pentas semasa membawakan lagu Anganku Anganmu.

Ramai yang ingin melihat paduan suara antaranya dan teman seangkatan dari Malaysia memandangkan kedua-dua wanita itu memiliki vokal hebat.

“Saya tanya rakan-rakan di Malaysia siapa patut jadi gandingan dan rata-rata menyebut nama Ernie Zakri.

Bila saya perhatikan, suara dia sangat sesuai dengan lagu saya memandangkan dia pun banyak lagu duet. Malah, suaranya juga luar biasa dan semoga kami menghasilkan duet kelak,” jelasnya.

Sayangnya, hanya satu lagu sahaja yang disampaikan Ernie pada malam tersebut dan selepas itu Raisa meneruskan persembahan dengan seleksi hit berjudul You, Let Me Be dan Cinta Sempurna.

Tidak hanya Ernie, kehadiran Hael Husaini juga disambut sorakan saat menyampaikan lagu Percayalah.

Konsert diteruskan dengan dendangan seperti Teka Teki, Apalah, Biarkanlah, Mantan Terindah dan Could It Be.

SELAIN Ernie, kemunculan Hael ke pentas juga sangat dinanti-nantikan peminat dengan membawakan lagu Percayalah berduet dengan Raisa

‘Jangan kendur’

Kebanyakan lagu yang disampaikan pada malam penuh nostalgia itu merupakan tulisan Raisa sendiri yang digarap indah.

Ujar pelantun Terjebak Nostalgia itu, komitmen hanya terhadap nyanyian menjadikan dirinya seorang yang tidak beralih ke arena lain.

“Sebenarnya dalam berkarya kita perlu konsisten atau di Indonesia kita panggil ‘jangan kendur’.

Saya memang fokus kepada nyanyian tanpa mencipta apa-apa sensasi.

“Dari situ, kualiti nyanyian saya terhasil seiring karya baharu dan konsert,” ujarnya lagi.

Sebelum melabuhkan tirai konsert, tidak lengkaplah konsert Raisa tanpa lagu Kali Kedua yang ditunggu-tunggu ramai.

Tidak mengecewakan peminat, Raisa memilih lagu Nyawa & Harapan sebagai encore konsert, sekali gus berhasil mengheret emosi penonton menghayati bait-bait penuh makna dalam lagu tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok