SIAPA yang tidak mengenali figura bernama Uqasha Senrose. Wajahnya sering menghiasi televisyen malah setiap penampilannya pasti mencuri perhatian.
Berbekalkan dedikasi dan kesungguhan, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu berdiri sebagai antara aktres disegani, meraih jutaan peminat dan mencipta perhatian dalam setiap karya yang dibintangi.
Bukan itu sahaja, berita perkahwinan dengan aktor popular Kamal Adli sehingga khabar gembira mengenai kelahiran puteri sulung mereka, Hawra Uqaira, pada April lalu turut menjadi sorotan pemerhati industri hiburan.
Pasangan sama cantik sama padan itu bukan sahaja disukai ramai kerana aura dan keserasian mereka, bahkan mencuri tumpuan dengan kisah romantis serta sokongan terhadap kerjaya masing-masing.
Pun begitu, ketika melayari bahtera bahagia, timbul pula dakwaan bahawa rumah tangga mereka juga sebenarnya sedang bergolak.
Hanya gaduh manja
Hampir sebulan bertebaran dakwaan kononnya gelombang menerjah rumah tangganya dengan Kamal, aktres berusia 32 tahun itu tampil menangkis spekulasi sekeras-kerasnya, selain tertanya-tanya dari mana datangnya punca tuduhan sebegitu.
Ujar wanita bermata bundar itu, setiap perkahwinan pasti berdepan ujian, sekali gus bukan sesuatu yang pelik apabila berlakunya salah faham atau ada rajuk bertakung di dada.
“Dalam rumah tangga ada naik dan turun. Selagi tidak sampai tahap ke mahkamah, itu adalah perkara biasa.
Nak kata bahagia selalu pun tidak, nak kata sedih juga tidak. Kami baru dikurniakan anak pertama dan masih bergelut menyesuaikan diri. Gaduh-gaduh kecil itu biasalah, mana ada pasangan 24 jam bahagia.
“Bekerja dan jaga anak, kali pertama kami lalui. Bergaduh kecil sahaja, misalnya saya suruh basuh tangan sebelum pegang anak,” katanya kepada HibGlam.
Mengakui bukan mudah untuk untuk terus kuat berhadapan ujian sehari-hari, Uqasha dan suaminya tetap berusaha memperbaiki kelemahan selain terus mencuba yang terbaik.
“Ajal dan maut di tangan Tuhan. Bila diuji, nak pertahankan terletak kepada kekuatan pasangan suami isteri. Semuanya Allah uji.
Jadi, nak bertahan bukanlah mudah. Susah nak hadap ujian rumah tangga, belum ditambah mulut orang luar lagi.
“Apa pun, mental kena kuat, lebih-lebih lagi ketika saya baru bersalin,” luahnya serius.
Jaga emosi
Enggan emosi dan mentalnya terganggu dek gosip liar, pelakon filem Paku Pontianak itu sedaya upaya mengelakkan diri daripada memikirkan mahupun membaca dakwaan tidak berasas tentang rumah tangganya.
“Bila sudah beranak dan jadi ibu, jaga emosi paling penting. Gosip bukan-bukan saya tolak ke tepi.
“Tuduhan tidak berasas ini tidak sihat, lebih baik abaikan dan sibukkan diri dengan jaga anak.
“Saya dan Kamal bergurau dan bergelak ketawa sahaja di rumah bila dengar orang cakap rumah tangga kami bergolak. Kami langsung tak ambil serius,” tuturnya tegas.
Paling penting kata pelakon asal Kelantan itu, tiada yang paling dipinta selain doa yang baik-baik daripada khalayak agar rumah tangganya kekal sejahtera dan sentiasa direnjis bahagia.
Berkongsi mengenai filem terbaharu dibintanginya berjudul Bisikan Dosa, Uqasha mengakui wataknya sebagai Zara dalam naskhah tersebut sangat mencabar dan menuntut permainan emosi yang begitu berat.
Bukan itu sahaja, naskhah yang bakal ditayangkan pada 9 Januari 2025 itu juga merupakan penggambaran pertamanya selepas melahirkan anak sekitar enam bulan lalu.
“Watak Zara ini sangat berat ditambah pula genre seram, saya berlakon semula selepas melahirkan anak jadi emosi tu Tuhan sahaja tahu, rindu sangat kepada anak. Mujurlah momentum lakonan masih boleh dikejar.
“Karakter tersebut menuntut penjiwaan mendalam dan sangat kompleks. Saya juga ada babak kena mekap menggunakan teknik SFX kesan khas, memang mencabar.
“Naskhah seram, kita pula ada anak kecil, saya memang akan bersihkan diri selepas berlakon dan berhenti mana-mana dahulu sebelum pulang jumpa anak,” tutupnya.
Selain Uqasha, filem arahan Faizul A. Rashid yang bergenre seram itu turut dibintangi Sara Ali, Farid Kamil, Juliana Evans, Sherry Merlis dan Syazuwan Hassan. – HIBGLAM