LARUT dalam melodi dan emosi. Ungkapan tersebut cukup untuk menggambarkan impak persembahan Efek Rumah Kaca (ERK) dalam konsert Di Udara Kuala Lumpur ERK Live in KL yang menghimpunkan penonton rata-rata usia 30-an ke atas baru-baru ini.
Gelanggang Zepp Kuala Lumpur pada malam berselimut ‘mood’ melankolik menyaksikan persembahan band asal Jakarta yang membius emosi penonton dengan rangkaian hit mereka, membawa audiens ke dimensi nostalgia mengesankan.
Tepat pukul 8.30 malam, pentas terlebih dahulu dibuka dengan persembahan seorang pemuzik bebas, Bayangan membawakan lagu Dari Pinggiran dan beberapa judul lain sebagai sesi pemanas pentas.
Sejurus kemudian, kemunculan band yang dianggotai tiga jejaka, Cholil Mahmud di posisi vokal utama, gitar, Poppie Airil (vokal latar belakang) dan Akbar Bagus Sudibyo (drum) di pentas disambut dengan jeritan sekitar 800 peminat, barangkali benar-benar peminat fanatik mereka.
Dengan bilangan kehadiran audiens yang boleh dikategorikan suram, penulis faham mengapa tiada kelibat seorang pun Gen Z, muziknya terlalu ‘indie’ untuk dihayati, kadang seperti sedang membaca dan merintih.
Malam galau
ERK melantunkan 22 dendangan termasuk seleksi daripada tiga album hitnya iaitu Efek Rumah, Kaca, Kamar Gelap dan Sinestesia.
Repertoire persembahan merangkumi Melankolia, Putih dan Hujan Jangan Marah diikuti dengan lagu yang membuat penonton fanatik terdiam menikmati syahdunya lirik seperti Rahim Ibu, Banyak Asap dan Fun Kaya Fun.
Nyanyian lima lagu awal yang menggabungkan unsur sosial dan ironi dengan pendekatan muzik lebih santai membuatkan penonton larut dalam mesej tersembunyi di sebalik lirik-lirik, sekali gus membawa audiens berfikir dan merenung.
Jujur, sekiranya audiens yang bukan jiwanya meminati lagu genre sebegitu terheret datang menonton seperti penulis, nescaya akan terpinga-pinga dan barangkali ‘meronta’ untuk segera pulang.
Pun begitu, tidak dinafikan, gabungan muzik dan lirik mendalam sarat makna yang dihasilkan ERK selayaknya dipuji dan cukup unik berbanding pemuzik lainnya.
Momentum konsert dimantapkan alunan deretan muzik galau berikutnya seperti Ballerina serta Kau dan Aku yang disampaikan dengan emosi penuh menguatkan lagi keintiman malam itu.
Penonton tampak terikat dengan setiap lirik, menjadikan malam tersebut pengalaman ‘healing’ yang mungkin sukar dilupakan.
Gaya penyampaian vokalis utama, Cholil Mahmud, sepenuh jiwa seiring ekspresi memperkuatkan lagi emosi, membuatkan ramai tersentuh terutama ketika lagu Biru, Mosi dan Di Udara berkumandang.
Lagu tersebut membawa penonton lebih jauh mendasari memori, merasai kenangan yang mungkin pernah berlatarkan lagu tersebut, membuatkan suasana semakin emosional.
ERK meneruskan persembahan dengan lagu Bersemi Sekebun, Lagu Kesepian dan Disember.
Ketiga-tiga lagu berkenaan membuatkan suasana Zepp KL menjadi senyap seketika, seolah setiap audiens tenggelam dalam dunia ciptaan ERK yang penuh makna dan penghayatan.
Berhibur sambil kongsi rezeki
Meneruskan energi konsert di skala kemuncak, malam gemilang tersebut diteruskan dengan persembahan lagu Manifesto dan Kamar Gelap sebagai kesinambungan perjalanan emosi malam.
Lagu-lagu berkenaan menjadi bukti kemampuan ERK dalam menggabungkan isu sosial dalam melodi, membuatkan audiens tersentuh dengan mesej yang tersirat.
Adrenalin dideraskan pula dengan alunan Sebelah Mata dan Insomnia. Dengan gaya penuh jiwa, Cholil turut berkongsi kisah ringkas di sebalik lagu-lagu tersebut. Setiap cerita memberikan perspektif baru kepada audiens, menjadikan persembahan semakin bermakna.
Berhenti seketika, penganjur Shezco Sdn. Bhd. tampil mengumumkan pemenang cabutan bertuah semasa konsert.
Pemenang membawa pulang sebuah gitar berharga RM2,000 beserta tanda tangan semua ahli Efek Rumah Kaca.
ERK kemudian menyambung persembahan dengan lagu Jalang dan Heroik. Agak mengejutkan, nyanyiannya menjadi ‘sing along’ di bibir penonton yang mungkin sudah sebati melumati setiap bait lirik dan melodi berkenaan.
Melihatkan sekeliling, ada audiens yang memeluk erat pasangan masing-masing menikmati nyanyian penuh emosi tersebut, namun terdapat juga penonton yang tadinya berdiri segera duduk barangkali lenguh dek faktor usia.
Dalam konotasi mencuba untuk memahami hala tuju konsert yang meleret dengan lagu galau indie, penulis gagahkan diri untuk kekal sehingga ke akhir persembahan.
Persembahan diteruskan lagi dengan tenaga maksima seiring sokongan penuh daripada peminat yang sejak awal bersorak demi susuk pemuzik genius itu.
Ketika peminat larut dalam kesyahduan paduan suara, kepanasan kemudian diteruskan dengan lagu Laki-Laki Pemalu sebelum menutup persembahan.
“Terima kasih Malaysia!” ujar Cholil di penghujung konsert, sambil memberi isyarat bahawa ERK bakal kembali dengan persembahan yang lebih besar dan hebat pada masa akan datang.
Tidak berundur tanpa lagu wajib, Cinta Melulu sebagai seruan buat semua yang berjiwa galau, suara penonton nyata bergema mengikut bait lirik lagu yang sudah sebati berbekas di jiwa.
Stamina dan energi kumpulan asal Jakarta itu cukup luar biasa malah meskipun suara vokalisnya seperti tenggelam timbul, mereka tetap berjuang menebarkan bunyian megah buat pemuja bakat yang gigih membeli tiket. – HIBGLAM