KERAP membawakan watak antagonis secara tidak langsung membentuk pola fikir yang menyifatkan pelakon Alif Hadi memiliki personaliti yang tegas, garang dan serius.
Bagaimanapun, setelah berpeluang bertemu empat mata dengan pemilik nama lengkap Muhammad Alif Abdul Hadi, tanggapan itu nyata meleset kerana tuan badan seorang yang tidak lekang dengan senyuman dan suka berjenaka.
Biarpun luarannya kelihatan ceria, namun gelora hati lelaki berusia 36 tahun itu hanya Tuhan yang tahu terutama apabila dia mengumumkan ikatan cinta dengan kekasih hati iaitu pelakon dan pengacara Yasmin Hani terputus di tengah jalan.
Tempoh tiga tahun menyulam cinta masih belum cukup utuh untuk meyakinkan mereka membawa hubungan ke jenjang pelamin.
“Keputusan (perpisahan) mula difikirkan sekitar awal tahun ini, apabila ada saja perkara yang menjadi bahan pergaduhan. Apabila kerap berbalah dan dirasakan banyak sangat perkara ‘tidak masuk’.
“Jadi daripada terus merosakkan hubungan ini sehingga tidak bertegur sapa, lebih baik kita ambil masa untuk rehat sekejap dan keputusan ini merupakan kata sepakat,” kata Alif dengan nada perlahan sambil matanya kelihatan sedikit berkaca.
Reaksi Alif itu jelas menunjukkan perasaan cinta buat mantan kekasih masih menyala.
Tidak menafikan hatinya hampa kerana gagal mempertahankan hubungan mereka sama seperti yang diharapkan. Namun,
Alif reda dengan apa perkara dan tidak menyalahkan Yasmin mahupun meletakkan ‘beban perpisahan’ itu di bahunya.
“Perasaan sedih itu memang ada kerana saya bukan bercinta dengan seorang, tetapi bertiga. Walaupun ada berkata tempoh tiga tahun itu terlalu singkat, tetapi saya menjalaninya dengan penuh tanggungjawab.
“Setiap hari saya lalui dengan dia (Yasmin) bukan sekadar bercinta suka-suka seperti budak sekolah. Tetapi, saya perlu terus menggalas tanggungjawab sebagai bapa kedua-dua anaknya.
“Jadi saya sudah cukup masak dengan sikap masing-masing dan tahu bagaimana hendak mengambil hati serta memujuk mereka. Saya juga ada ketika sakit pening mereka dan menjaga mereka seperti darah daging saya sendiri,” katanya.
Biarpun hati mereka seperti sudah ‘terikat’, namun tanpa ikatan sah tentu sahaja hubungan hanya sekadar kekasih sahaja. Disebabkan itu, bagi Alif ada banyak hal yang perlu diambil kira sebelum masing-masing bersedia untuk menjadi suami isteri.
Malah, Alif turut mempunyai telahan sendiri ketika ditebak tentang reaksinya terhadap kenyataan Yasmin yang tetap berkawan baik dengan dia meskipun sudah berpisah.
“Saya memang agak kecewa kerana sudah penat ‘bertarung’ menjaga hubungan, tetapi siapa sangka hanya sampai di sini saja. Bagi saya, jika berkawan itu lebih baik, ya itulah jawapannya.
“Setiap daripada kita tentu mempunyai harapan terhadap pasangan masing-masing. Begitu juga dia (Yasmin) yang mungkin selesa berkawan dengan saya kerana sebagai kawan, kita tidak meletakkan harapan terlalu tinggi.
“Pada saya, ada pasangan yang boleh menjadi suami isteri, tetapi tidak mampu bekerjasama dengan baik jika mereka bekerja. Pada saya konsep itu sama yang mana bercinta tidak boleh, tetapi berkawan tiada masalah,” ujarnya seraya tersenyum.
‘Bendera merah’
Masih berada dalam ceritera cinta, Alif dilihat tidak mudah melenting dengan tuduhan peminat apabila ada yang menuduh sebagai lelaki ‘red flag’.
Baginya stigma lelaki yang bersalah sekiranya hubungan itu gagal, sudah sebati dengan fikiran masyarakat kerana hal itu sudah dibentuk sejak dahulu lagi.
Tidak mengira sama ada lingkungan masyarakat atau paparan televisyen, hampir semuanya meletakkan kesalahan itu pada lelaki dan menyifatkan wanita itu sempurna.
Namun, kata Alif, di zaman yang serba canggih ini, golongan wanita mempunyai kekurangan mereka dalam memelihara hubungan.
“Orang boleh berkata macam-macam untuk membuat andaian. Tetapi saya tidak terlalu memikirkan apa yang dikatakan netizen kerana cukuplah masalah yang ada dalam hidup ini, tidak perlu lagi hendak dibebankan dengan kata-kata orang.
“Kehidupan mereka sendiri pun belum tentu sempurna untuk menilai orang. Jadi biarlah mereka hendak berkata apa sama ada cakap saya ini lelaki ‘red flag’, hanya ingin mempermainkan wanita, bercinta sekadar suka-suka. Itu semua terpulang kerana paling penting, Allah dan saya tahu yang berlaku.
“Mungkin orang akan melihat lelaki salah, tetapi wanita juga ada kekurangan. Namun, saya tidak menyalahkan tentang kegagalan hubungan ini kerana semuanya sudah takdir. Jika kita sibuk fikir salah siapa, nanti perkara itu akan membebankan fikiran dan jiwa sehingga timbul perasaan membenci antara satu sama lain,” terangnya.
Dalam pada itu, Alif turut menjelaskan tentang ‘rahsia’ statusnya yang mungkin tidak ramai mengetahui. Terang Alif, dia dahulu pernah mendirikan rumah tangga dengan anak seorang tokoh politik tanah air.
Bukan bermaksud untuk merahsiakan statusnya itu, tetapi atas beberapa alasan, Alif terpaksa berbuat demikian demi menjaga hati banyak pihak.
“Identitinya biarlah saya rahsiakan. Bagi saya perkara ini terlalu sensitif untuk diperkatakan dan saya sendiri pun secara peribadi berbelah bahagi untuk menceritakan tentang ini. Sebelum ini bekas isteri saya adalah keluarga ahli politik.
“Sepanjang berkahwin, saya tidak memberitahu sesiapa kerana ingin menghormati keluarga mentua dan tidak mahu nanti akan ada perkara berbangkit. Saya memilih untuk bercerita sekarang kerana perceraian antara kami berlaku pada 2018.
“Bagi saya sudah enam tahun berlalu dan saya fikir ini sudah tiba masanya untuk bercerita. Kami berpisah selepas tujuh tahun berumah tangga dan tidak dikurniakan cahaya mata. Saya memilih untuk diam bukan kerana diminta oleh keluarga bekas isteri, tetapi kerana pilihan sendiri,” jelasnya.
Setelah habis bercerita tentang kisah peribadi, Alif terus rancak berkongsi perasaan apabila berjaya meraih trofi Aktor
Pembantu Filem Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) pada awal Oktober lalu.
Ujarnya, anugerah itu menjadi tanda penghargaan setelah 14 tahun bergelumang dalam dunia seni. Biarpun melewati jangka waktu yang lama, namun Alif tidak jera memberikan yang terbaik dan melakukan eksperimen dengan watak baharu.
“Alhamdulillah ini pertama kali dapat tercalon anugerah. Sejujurnya saya bukan mahu menceburi bidang seni semata-mata mengejar populariti dan trofi. Tetapi cukup sekadar penghargaan yang dapat dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Awalnya saya berasa agak takut untuk menang anugerah kerana ada segelintir memberitahu, pihak produksi atau penerbit takut untuk mengambil pelakon yang menang anugerah kerana bimbang ‘harganya’ mahal.
“Tetapi, percayalah harga saya masih sama dan boleh dibawa berbincang. Saya tidak akan letak terlalu tinggi kerana perkara itu akan memberi kesan kepada pihak lain iaitu jurukamera atau penulis skrip.
“Saya bimbang jika penerbit perlu membayar saya mahal, tetapi memotong bayaran orang lain,” jelasnya.
Alif yang bakal muncul dengan filem baharu bertajuk Jangan Pandang Belakang 2 pada 21 November depan mengakui tidak sabar untuk melihat reaksi penonton terhadap mutu lakonannya.
Dia dipertanggungjawabkan membawakan watak sebagai Hafiz yang merupakan seorang ustaz yang mahir dalam melakukan perubatan Islam. – HIBGLAM
Foto:
FARIZ RUSADIO
Tatarias:
NANA CHAH
Dandanan:
FEIRUZ SOHOR
CAPTION
CABARAN membawakan watak sebagai ustaz dalam filem Jangan Pandang Belakang 2 memberikan pengalaman baharu sepanjang tempoh
14 tahun kerjaya seninya.
PERPISAHAN dengan Yasmin tidak menghalang Alif untuk mengekalkan hubungan baik dengan bekas kekasih.
ALIF mengakui pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang anak tokoh politik tanah air, namun berpisah pada 2018 setelah tujuh tahun berumah tangga.