Ledakan kolaborasi bintang K-pop

KERJASAMA antara idola K-pop dan artis antarabangsa semakin popular sehinggakan karya hasil kolaborasi itu sentiasa dinantikan peminat seantero dunia.

Bukan sekadar menggabungkan budaya dan gaya muzik berbeza, tetapi gandingan itu turut mencipta fenomena global baharu yang memperkukuh pengaruh K-pop.

Setiap kali projek sedemikian dilancarkan, pastinya akan membawa elemen kejutan, bukan sahaja dari segi kreativiti tetapi juga populariti luar biasa.

Apabila lagu-lagu kolaborasi itu menjadi hit, impaknya akan menambah lagi kredibiliti muzik Korea dalam kanvas seni dunia.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat kolaborasi terbesar antara bintang K-pop dan artis antarabangsa yang mencipta sejarah tersendiri dan membuktikan muzik tidak mengenal sempadan.

Rose dan Bruno Mars

Kolaborasi antara anggota kumpulan Blackpink, Rose dan Bruno Mars menerusi lagu APT memberikan sentuhan baru dalam dunia muzik, mempertemukan dua artis yang terkenal dengan suara serta gaya tersendiri.

Lagu tersebut memaparkan keupayaan vokal Rose yang halus bersatu dengan gaya funk dan soul Mars menjadikannya antara kolaborasi paling meledak dan dinantikan peminat.

APT menggabungkan elemen R&B dan pop dengan sedikit sentuhan retro yang menjadi ciri khas Mars, diperkaya lagi dengan vokal lembut Rose yang membawa nuansa romantis namun tetap ‘catchy’.

Kolaborasi itu juga sekali gus memaparkan versatiliti Rose dalam membawakan lagu genre berbeza yang menyerlahkan lagi keupayaannya sebagai penyanyi solo.

Kejayaan APT menambahkan lagi populariti penyanyi dan menjadikan mereka contoh dua artis dari latar belakang berbeza boleh bersatu dalam karya yang menggoncang dunia muzik.

BTS dan Halsey

Kerjasama antara kumpulan BTS dan Halsey mencipta sejarah apabila lagu Boy With Luv berjaya menduduki carta terkemuka seluruh dunia.

Lagu tersebut bukan sahaja menjadi kegemaran ramai tetapi turut memecah rekod tontonan YouTube dalam masa singkat selain memperlihatkan ‘chemistry’ luar biasa antara vokal BTS dan suara unik Halsey sekali gus menjadikannya salah satu karya pop paling ikonik.

BTS dan Halsey turut beraksi di pentas-pentas anugerah muzik antarabangsa sekali gus membuktikan kekuatan lagu itu di peringkat global.

Persembahan mereka yang bertenaga menambah keterujaan peminat, terutamanya apabila melihat Halsey turut terlibat dalam koreografi bersama BTS.

Kejayaan Boy With Luv menunjukkan kebijaksanaan BTS memilih rakan duet yang memberi impak besar kepada kembara seni mereka.

Tidak dinafikan, Boy With Luv membuka peluang lebih luas untuk artis K-pop berkolaborasi dengan artis antarabangsa serta mengukuhkan lagi kedudukan mereka di pasaran muzik global.

Psy dan Snoop Dogg

Ketika Hangover dilancarkan, kolaborasi Psy dan Snoop Dogg mencetuskan sensasi besar dalam dunia muzik.
Lagu dengan gabungan elemen hip-hop dan beat elektronik itu menunjukkan keserasian luar biasa antara dua ikon dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat sekali gus meledak menjadi sebuah karya segar serta unik.
Snoop Dogg membawa gaya santainya ke dalam lagu tersebut melengkapi gaya Psy yang penuh energi.
Hangover menggabungkan humor dan ironi dengan visual kreatif yang cukup menghiburkan.
Kolaborasi itu mendapat pujian bukan hanya kerana keunikan lagunya tetapi juga kerana keberanian Psy dalam mencipta karya luar kebiasaannya.

Blackpink dan Selena Gomez

Kolaborasi antara Blacpink dan Selena Gomez menerusi lagu Ice Cream meledak apabila menampilkan gabungan menarik pesona K-pop dan pop barat.

Lagu tersebut memikat hati pendengar dengan elemen muzik ceria dan lirik yang ‘catchy’ serta penuh keseronokan, sesuai dengan personaliti bintang popular itu.

Diterbitkan pada 2020, Ice Cream bukan hanya menjadi hit besar di carta global tetapi turut mencipta momen ikonik di persada muzik dunia.

Keunikan kolaborasi itu memperlihatkan persahabatan merentasi benua dan memberikan pengalaman berbeza untuk peminat.

Selena turut memberikan sentuhan khas pada karya terbabit dengan suara lembut dan lirik yang mempesona melengkapkan harmoni gaya kumpulan empat gadis lincah itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok