PERNAH mencatat sejarah sebagai pelakon paling banyak memenangi trofi namun siapa sangka, Datuk Rosyam Nor belum pernah terlibat dalam naskhah seram.
Kedengaran pelik namun itulah kenyataan. Lazimnya, mana mungkin aktor yang sudah bertapak lebih tiga dekad tidak pernah menjayakan filem seram atau mistik.
Akuinya, tawaran sebegitu pernah hadir tetapi watak yang ditawarkan tidak berjaya menambat hatinya.
Waktu bergulir, hatinya baru-baru ini terbuka saat ditawarkan watak Hadiff untuk filem seram berjudul Susuk Bidadari arahan Faizal Nadxaman yang kini masih menjalani penggambaran.
Naskhah terbitan Primeworks Studios tersebut menampilkan Rosyam bergandingan dengan Che Puan Sarimah sebagai suami isteri, selain turut dibantu Alya Iman dan Trisha Ooi.
Genre seram sebegini memang saya tak pernah berlakon tetapi disebabkan mahukan kepelbagaian, saya terima.
“Sebelum ini macam-macam watak saya sudah lakukan cuma untuk filem seram sebegini, lambat pula tawarannya,” kata Tailong KL Gangster itu kepada HibGlam.
Pada usia sekarang, buruan Rosyam untuk menjadi pelakon versatil masih menjadi sasaran utama meski ada yang menggelarnya hero tua. Banyak watak sudah saya pegang, selepas ini nak kejar watak komedi aksi pula.
Kalau umur tak panjang, saya mahu orang tengok arkib kerjaya individu bernama Rosyam Nor lengkap dengan pelbagai genre dan watak selain mahu diingati sebagai pelakon versatil,” ujarnya.
Berkongsi mengenai karakter Hadiff iaitu seorang ahli politik yang gagal, Rosyam mengakui cabaran terbesar adalah untuk memastikan babak romantis lakonannya tidak membuatkan penonton berasa meluat.
“Cabaran saya adalah soal kemampuan diri sama ada mampu memberikan sesuatu yang berbeza daripada watak-watak sebelum ini.
Kemudian penerimaan penonton juga penting supaya mereka tidak menyampah melihat babak saya meluahkan kata-kata cinta kepada pelakon muda. Sama ada mereka muntah, meluat atau menerima seadanya.
“Namun saya rasa itu bukan masalah besar sebab rasa diri muda sentiasa,” selorohnya.
Pernah menyuarakan perkara sama sebelum ini, Rosyam sentiasa berharap setiap lakonannya diterima baik pencinta filem generasi baharu.
Dia juga amat menitikberatkan misi peribadi untuk sentiasa diingati dan berjaya berada dalam hati peminatnya.
“Harap dengan filem Susuk Bidadari ini, saya akan dapat ‘pelanggan-pelanggan’ (peminat) baharu yang meletakkan Rosyam Nor dalam hati mereka dan terus diingati.
“Saya sedang mencari pasaran dan peminat baharu. Seorang Rosyam Nor akan sentiasa ‘test market’.
“Semua itu untuk kekal relevan dan bukan mudah untuk mencari populariti tetapi lebih sukar ingin mengekalkannya.
“Itu yang saya alami sekarang ini,” tutur bintang Memoir Seorang Guru itu tulus.
Cantik sahaja tak guna
Selain Sarimah yang disifatkan sangat komited dengan kerja, Rosyam turut memuji pelakon Alya yang dilihat mempunyai potensi besar menjadi seorang bintang satu hari nanti.
Baginya, industri perfileman ketika ini juga ketandusan pelakon generasi baharu yang bagus namun pakej lengkap itu dilihat pada Alya.
Gandingan saya dengan Alya okey, dia seorang pelakon yang ada pakej iaitu cantik, bijak dan berbakat besar, memang boleh pergi jauh.
“Saya ada tanya dia, tidak rasa bodoh ke kerana digandingkan dengan seorang hero yang sudah berusia?
Tetapi jawapan dia bagus sebab mengaku memang teringin nak berlakon dengan saya. Bakat yang Allahyarham Azmil Mustapha ada, memang tumpah kepadanya,” jelasnya.
Perlu digilap dan menjaga penampilan dengan baik, itu antara nasihat yang dititipkan Rosyam kepada Alya sekiranya mahu nama kekal relevan dan diterima dalam industri.
“Jadi, saya rasa Alya akan menjadi salah seorang bintang yang besar sekiranya dijaga dan digilap dengan baik.
Sebab kita sudah lama tak jumpa pelakon yang bijak. Setakat cantik sahaja, tak berguna juga.
“Sebelum terima tawaran ini, saya ada tonton lakonan-lakonan terdahulu Alya dan memang nampak kemampuan dia,” kongsinya.
Dalam masa sama, Rosyam bertegas, dia bukan ‘perasan bagus’ kerana sewenang-wenangnya menilai atau mengkritik bakat pelakon baharu sebaliknya perkara tersebut adalah penting untuk memastikan kelancaran kerjayanya kelak.
“Bukan nak cakap diri sendiri bagus sebab menilai orang lain tetapi saya mahu bekerja dengan orang hebat, terutama pelakon baharu.
Kami akan saling menumpang populariti, itu kelebihan apabila dapat gandingan hebat daam sesebuah naskhah.
“Sehingga hari ini, saya antara aktor yang beruntung kerana selalu digandingkan dengan heroin hebat. Itu juga dikira sebagai rezeki,” ujarnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM