Konsert Aisha Retno batal, tiket tak laku

IMPIAN penyanyi Aisha Retno untuk beraksi pada konsert solonya tidak akan menjadi kenyataan selepas penganjur Kharisma Music International membatalkan acara tersebut.

Kharisma Music International melalui hantaran dalam Instagram mengumumkan pembatalan konsert tersebut pada Jumaat.

Kami dengan dukacita mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2024 di Zepp Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan atas sebab jualan tiket yang rendah.

“Pihak pengurusan artis juga tidak bercadang untuk menangguhkan konsert tersebut.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku. Keputusan ini bukanlah dibuat tanpa berfikir panjang. Terima kasih kerana memahami,” tulis mereka dalam kenyataan rasmi.

Peminat yang telah membeli tiket akan menerima e-mel daripada Ticket2u untuk proses pemulangan semula wang yang mengambil masa 7 hingga 14 hari.

Pembatalan konsert tersebut ternyata mengecewakan peminat setia Aisha yang menantikan untuk menonton persembahan idola mereka.

Sedih bila baca e-mel konsert Aisha dibatalkan. Saya ternanti-nanti untuk menonton konsert Aisha secara langsung. Harap satu hari nanti dapat lihat persembahan Aisha,” komen peminatnya yang berasal dari Singapura.

Sementara itu, Aisha menerusi hantaran dalam InstaStory berkata, dia akan menceritakan apa yang berlaku tidak lama lagi.

“Nantiku ceritakan semuanya ya sayang semua. Jalan terus walaupun sakit ya,” tulisnya.

Aisha dilihat tetap bersemangat membuat persembahan nyanyian pada beberapa acara berbeza semalam biarpun hatinya sedang remuk gara-gara konsertnya dibatalkan.

Walau badai melanda, hari ini cukup cerah dengan dengan warna untuk minda ini direhatkan daripada onak duri yang terjadi hari ini.

“Izinkan saya berkongsi momen hari ini sebelum kembali kepada topik yang dipertanyakan kalian hari ini (semalam), ” – tulisnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok