Kongsi markah dengan Ning Baizura, Fairuz selamat teruja

HAMPIR 20 tahun tidak membuat kemunculan di atas pentas, penyanyi Fairuz Selamat bersyukur apabila berjaya meraih kedudukan ketiga pada minggu pertama konsert Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).

Fairuz atau nama lengkapnya Mohd Fairuz Selamat, 39, berkata, mendapat markah 67 peratus daripada barisan juri profesional itu secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat untuk memberikan persembahan lebih baik pada minggu hadapan.

Lebih mengujakan apabila Fairuz turut berkongsi markah yang sama dengan penyanyi berstatus Diva Ning Baizura.

Syukur alhamdulillah. Saya sangat terharu apabila dapat markah sebegitu daripada pihak juri. Syukur juri nampak bakat nyanyian saya.

“Tetapi berada di posisi yang ketiga itu juga memberikan sedikit tekanan kepada saya apatah lagi berkongsi markah dengan penyanyi tersohor, Ning Baizura,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui semalam.

Berjaya menempat diri di tempat ketiga dan berkongsi mata dengan bintang popular sama sekali tidak membuatkan Fairuz mendabik dada.

“Ini baru minggu pertama, sebolehnya saya tidak mahu markah itu dikongsi kepada umum kerana saya berasa sangat malu.

Biarpun markah saya dan Ning sama, tetapi kemahiran nyanyian dan pengalaman kami sangat berbeza.

“Bagi saya di minggu pertama ini masing-masing masih belum menunjukkan ‘taring’. Jadi kalau hendak mengatakan tahap saya sama dengan penyanyi profesional, itu mustahil,” katanya.

Persembahan minggu pertama GV11 menyaksikan Liza Aziz berada di kedudukan pertama dengan markah 77.50 peratus sementara Dyrga Dadali di kedudukan kedua dengan kutipan mata 67.50 peratus.

Diikuti oleh Fairuz di tempat ketiga manakala Ning di tempat keempat dengan jumlah mata serupa iaitu 67 peratus.

Sementara itu Sheila Abdull berada di tempat kelima dengan markah 65.75 peratus diikuti Zehra Zambri (63.75 peratus), Yazid Lovehunters (63.25 peratus), The Lima (62.25 peratus), Ronnie Hussein (61.50 peratus).

Seterusnya Inka Christie (61 peratus), Nai Dinamik (59.5 peratus), Reshmonu (57.5 peratus), Arrora Salwa (53.25 peratus) dan Illa Sabry (52.75 peratus).

Persembahan kesemua peserta diadili juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok