SEBELUM ulasan naskhah ini diteruskan, penulis terlebih dahulu mahu memberi saranan kepada khalayak agar menonton siri televisyen dengan rating paling tinggi berjudul The Penguin yang mendapat rating 9.7 (IMDb).
Siri berkenaan baru sahaja melabuhkan tirainya Isnin lalu dan peminat DC Comics sangat berterima kasih terhadap sutradara, Mat Reeves dan teraju utamanya, Collin Farrell atas kemenjadian penceritaan cukup sempurna.
Bagaimanapun, filem yang ingin diperkatakan minggu ini adalah buatan Indonesia bertajuk Ipar Adalah Maut garapan pengarah ternama republik tersebut, Hanung Bramantyo.
Dalam emosi terpaksa, penulis sempat mencuri sedikit masa menonton filem berkenaan menerusi Netflix baru-baru ini.
Malangnya, penulis hanya bertahan sekerat jalan memandangkan sepertinya sudah dapat meneka bagaimana klimaks dan penamat cerita bernuansakan selingkuhan antara seorang suami dan adik kandung sendiri (dari POV watak utama, Nisa dimainkan Michelle Ziudith).
Klise
Filem berkenaan sudah ditayangkan di pawagam Indonesia sekitar Jun tahun ini. Dengan banyak cerita suami isteri bercerai belakangan ini, meluncurkan filem sebegitu merupakan langkah bijak dan hasilnya, karya tersebut terus meroket di tangga pertama carta filem Netflix..
Sejujurnya, plot atau penceritaannya kerja si pengarahnya, Hanung tiada apa yang ‘wow’ kali ini.
Filem berkenaan juga diangkat daripada novel popular tulisan Elizasifaa dan penulis sendiri sudah disuakan dengan skrip serupa menonton drama tempatan, Andai Tiada Dia lakonan Ummi Nazeera, Hisyam Hamid dan Mimi Lana.
Atas sebab itu, ruang untuk Ipar Adalah Maut tidak mampu ditelusuri sepenuhnya, hanya ¼ jalan sahaja kerana berdasarkan judul, sudah tahu apa isi cerita dan bagaimana pengakhirannya.
Dari segi terjemahan lakonan, tiga teraju utama iaitu Michelle (Nisa), Deva Mahenra (Aris) dan Davina Karamoy (Rani) tidaklah terlalu mengecewakan.
Michelle kalau diikutkan carian Google adalah seorang Muslim dan tiada masalah buatnya untuk memainkan karakter wanita bertudung.
Situasi itu dicernakan dengan baik terutama ketika babaknya mengajar anaknya mengaji al-Quran. Memang tidak kekok hatta namanya kalau dihakimi secara luaran, bukanlah seorang nama seorang Muslim.
Watak penyondol dijayakan pelakon muda Davina berjaya membuatkan diri naik darah namun masih banyak kelompongan.
Dia muda, cantik dan seksi namun kalau dibandingkan dengan Mimi Lana, memang umpama langit dan bumi.
Dari segi sinematografi, rasanya sehingga kini Hanung masih terperangkap pada zaman Ayat-Ayat Cinta dan tidak berganjak maju.
Babak-babak yang ‘ditangkap’ dalam filem Ipar Adalah Maut, cantik memang cantik namun kita sudah lama melihat hasil kerja seperti ini daripada perspektif Hanung menerusi filem-filem cinta islamik terdahulu.
Ibarat tiada pembaharuan yang ingin dijual kepada penonton. Markah daripada POV penulis hanya pada kadar atau gred B.
Sebuah filem tentang kecurangan (lebih parah akibat perbuatan darah daging sendiri) yang sudah terlazim dalam momokan garis cerita masyarakat sekarang. – HIBGLAM