MENEPATI ramalan ramai, Kiki Fateeha yang merupakan anak didik kepada penyanyi Aepul Roza diumumkan sebagai juara program The Chosen One 2024 (TCO2024) yang berlangsung malam tadi.
Selaku jurulatih kepada Kiki, 13, Aepul berbangga dengan pencapaian anak didiknya dan mahu menghadiahkan sebuah lagu kepadanya.
Sejak awal, walau apa yang berlaku dia menang atau tidak, saya memang mahu ada sebuah lagu duet bersamanya.
“Saya mahu perjalanan dan momentumnya dalam bidang seni ada kesihambungan. Sekarang lagu itu sudah separuh siap dan mungkin dalam dua bulan lagi akan dilancarkan,” ujar Aepul.
Kongsi vokalis kumpulan Drama Band itu lagi, idea untuk menghasilkan lagu duet bergenre rock balada itu timbul selepas mereka berduet menyanyikan lagu Gemuruh dalam program berkenaan.
“Saya rasa dia ada keistimewaan karakter apabila menyanyikan lagu rock balada. Saya pula memang suka menyanyi lagu rock jadi sesuailah.
Selain sebagai ‘coach’ saya seorang penulis lagu dan memiliki studio. Drama Band juga adalah satu ‘team’ yang memang buat lagu untuk ramai penyanyi lain. Jadi, sekurang-kurangnya kami hadiah sebuah lagu untuk Kiki.
“Saya percaya pada kualiti yang ada pada diri Kiki, cara dia berfikir dan bekerja sangat profesional. Pada masa depan saya mahu jadi orang yang berada di sebelahnya sepanjang perjalanan dalam bidang seni,” kata Aepul.
Kemenangan tersebut turut melayakkan Aepul memenangi hadiah wang tunai RM10,000 sebagai jurulatih terbaik.
Sementara itu, Kiki yang berasal dari Sabah tidak menyangka akan bergelar juara meskipun kemenangannya menepati ramalan ramai.
Mendendangkan lagu Kau Kekasihku (Datuk Siti Nurhaliza) bersama medley Jangan Kau Mimpi (Siti Sarah) dan Butter (BTS) duet bersama Aepul pada malam final, Kiki membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi serta rakaman sebuah lagu bersama label Rocketfuel Entertainment.
Saya tidak sangka akan menang kerana semua peserta hebat-hebat belaka. Apapun saya bersyukur kerana inilah pertandingan pertama paling besar pernah saya sertai.
“Kemenangan ini saya hadiahkan buat ibu yang merupakan seorang ibu tunggal kepada empat anak. Sejak kecil ibu sentiasa menyokong minat saya dalam bidang nyanyian dan sebagai anak saya mahu membuatnya bangga,” ujar Kiki.
Program TCO24 diadili penyanyi Datuk Awie dan Jaclyn Victor yang bertindak selaku juri tetap. Sementara Ajai dan Ziana Zain tampil sebagai juri jemputan pada malam akhir program berkenaan.
Tempat kedua dimenangi Akhil Mikail (anak didik Tomok dengan hadiah wang tunai RM20,000 selain memenangi kategori Persembahan Terbaik.
Anak didik Adira iaitu Atikah Rose pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang RM10,000, manakala Azry Sabri (anak didik Firdaus dan Fahimi Rahmat) berada di tempat keempat dengan hadiah RM5,000.
Program TCO2024 dimeriahkan oleh Jihan Muse dan Haziq Hussni selaku pengacara. – HIBGLAM