‘Kenapa tidak saya lakonkan watak perempuan dewasa’

MEMULAKAN kerjaya sebagai anak seni seawal usia empat tahun membuatkan pelakon berbakat besar, Puteri Balqis dilihat tumbuh dewasa melebihi usianya yang sebenar.

Kini pada usia 17 tahun, pelakon yang lebih mesra disapa sebagai Aqish ini sudah mula menggalas watak wanita dewasa.

Dalam drama terbaru lakonannya yang berjudul Sebelum Titik Noktah yang ditayangkan saluran Degup HD Unifi TV, Aqish memberanikan diri membawa watak sebagai wanita dewasa berusia 20-an bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza yang 18 tahun lebih tua daripadanya.

Biarpun padanan tersebut mungkin kelihatan canggung pada sesetengah penonton, tetapi sebagai pelakon Aqish menganggap naskhah terbaharunya itu sebagai cabaran dan tanggungjawab yang harus dipikul sebagai anak seni.

“Pada mulanya saya ingatkan kami akan digandingkan sebagai adik beradik. Tetapi rupanya sebagai pasangan kekasih. Lakonan adalah seni. Tugas pelakon adalah untuk melakonkan pelbagai watak. Pelakon boleh cipta pelbagai karakter.Saya telah berlakon pelbagai watak. Jadi kenapa tidak untuk saya lakonkan watak perempuan dewasa.Untuk melakonkan watak perempuan dewasa kita boleh main dengan teknik solekan. Saya juga banyak mengkaji tentang perwatakan perempuan dewasa,” katanya.

BARU berusia 17 tahun, Puteri Balqis yang sudah berlakon sejak usia empat tahun kini sudah diberi kepercayaan melakonkan watak wanita dewasa.

Namun kata pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Asia dalam Asian Television Award 2014 itu, percubaan membawa watak dewasa tidak bermaksud dia ingin meninggalkan terus karakter remaja.

Saya akan terima sahaja watak yang saya boleh bawa. Watak kanak-kanak juga ada keistimewaan tersendiri. Contohnya watak kanak-kanak yang hidup dalam sebuah keluarga yang penuh dengan sifat ‘abusive’. Tak semua watak berat perlukan watak orang dewasa,” jelasnya.

Ditanya apakah cabaran terbesar yang dihadapinya dalam menjayakan watak dalam drama ini, kata Aqish selain perbezaan usia, perbezaan ketinggian juga menjadi cabaran untuknya.

Aiman sangat tinggi. Setiap kali berlakon dengannya saya perlu mendongak. Sakit juga tengkuk saya. Selain itu saya harus kikis sifat keanak-anakan dalam diri untuk memastikan saya kelihatan dewasa dan sesuai dengan watak,” kongsinya.

Sejak ditayangkan pada 11 November lalu, sudah ada netizen yang tidak puas hati tentang gandingan Aqish dan Aiman disebabkan perbezaan usia sehingga dikatakan Malaysia ketandusan pelakon.

Menyedari gandingan mereka akan menjadi bualan ramai, kata Aqish karakter yang dilakonkan dalam skrip adalah 10 tahun lebih muda daripada karakter Aiman.

Kalau lihat ‘Puteri Balqis’ dan ‘Aiman Hakim’, pastinya jelas kelihatan jurang usia. Tetapi jika penonton menonton karakter yang dibawakan kami berdua pasti mereka akan lupa sedikit demi sedikit jurang usia kami yang sebenar,” katanya.

MILIKI simpati dan empati yang tinggi terhadap kanak-kanak, terutama yang berdepan perceraian ibu bapa.

Baru-baru ini Aqish dilihat menulis nukilan khas buat puteri kesayangan Nur Fazura dan Fattah Amin iaitu Nur Fatima Aisya yang terpaksa melalui episod duka akibat penceraian ibu bapanya.

Menurut Aqish dia sekadar berkongsi rasa sebagai seorang anak yang pernah melalui pengalaman yang sama satu ketika dahulu.

Saya cuma berkongsi perspektif saya sebagai seorang anak. Saya telah lalui macam-macam perkara dalam hidup saya. Saya tidak mahu Fatima jadi ‘broken’ sebab Fatima dilahirkan dalam keluarga yang sangat menyayanginya. Saya tiada hak untuk berkata apa-apa tentang masalah mereka. Sebab itu saya katakan seperti sebelum ini, saya hanya berkongsi perspektif saya sebagai seorang anak,” ujarnya.

Nukilan Aqish mengenai Fatima turut mendapat respons daripada Fazura yang tersentuh dengan kata-katanya.

Malah Fazura turut menyokong serta memberi kata-kata semangat buatnya tatkala dia berkongsi tentang ibunya yang sering menjadi bahan umpatan masyarakat.

Melihat respons daripada Fazura, kata Aqish hanya seorang wanita yang bergelar seorang anak dan ibu yang akan faham perasaannya.

“Dia juga merupakan seorang anak yang mempunyai ibu. Dia akan faham perasaan di mana seorang anak cuba untuk melindungi ibu serta keluarganya. Dan dia juga merupakan seorang ibu. Tiada ibu yang ingin melihat anak mereka bersedih,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Aqish bakal membintangi sebuah drama terbitan Erma Fatima yang akan ditayangkan pada Ramadan tahun hadapan.

Menyifatkan watak yang bakal digalasnya antara yang paling mencabar sepanjang bergelar pelakon, drama tersebut bakal menyaksikan Aqish bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Umie Aida, Rosyam Nor, Amir Ahnaf, Fattah Amin dan Izara Aishah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok