Dipukau, tak sedar pakai skirt sampai ‘tayang’ bulu kaki

Pernah berdepan insiden menakutkan, pelakon Izreen Azminda mendedahkan menjadi mangsa pukau seorang wanita ketika berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 39, berkata, ketika dipukau, dia bukan hanya menyerahkan beg tangan serta barangan berharga lain, bahkan memberikan seluar yang dipakai kepada individu terbabit.

Masa kejadian itu saya di tandas sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, ada orang datang calit gincu dekat seluar saya.

“Dia kata boleh tolong cuci dan saya terus buka seluar beri pada dia. Kemudian dia bagi pula ‘skirt‘ dia kepada saya.

“Bukan setakat seluar tapi sekali dengan beg tangan saya berikan kepada perempuan tersebut,” katanya dalam Instagram Story.

Biarpun kejadian itu sudah bertahun-tahun berlalu iaitu ketika masih di zaman belajar, pengalaman tersebut masih dirasakan pelik.

Katanya, perkara itu kerana dia keluar dari tandas memakai skirt individu terbabit yang menampakkan bahagian kakinya.

“Penyudahnya saya hilang beg tangan yang berisi duit, kad bank, kad pengenalan dan kad lesen memandu.

“Masa kena pukau saya masih belum bertudung dan berjalan di pusat beli belah itu memakai skirt dengan bulu kaki tak bercukur lagi.

Mujur saya jumpa kawan yang memang saya menunggu sebelum itu. Dia tegur kenapa pakai skirt sampai nampak bulu kaki,” ujarnya.

Menurut ibu kepada empat anak itu, seboleh-bolehnya dia enggan mengenang momen menakutkan yang dilalui.

“Akhirnya barulah saya tersedar daripada dipukau. Tak lalu nak ingat balik,” katanya lagi.

Terdahulu, pengikut laman sosial pelakon drama Hadiah Dari Tuhan itu memintanya menyambung kisah dipukau yang diceritakan sebelum ini untuk mengetahui pengakhirannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok