Jiwa seni meronta, Juliana Evans kembali aktif

NAMA Che Puan Juliana Evans masih mengharum di ingatan peminat walau kebelakangan ini jarang muncul dalam televisyen mahupun layar perak.

Beliau tidak hanya memikat melalui paras rupa bahkan, sentiasa diingati ramai bersandarkan bakatnya yang memukau.

Dikenali dengan karisma tersendiri, Juliana bukan selebriti biasa di pentas hiburan apabila setiap kali muncul di khalayak, auranya terpancar membuat orang sekeliling terpana dengan keanggunan dan sikap bersahaja dimiliki.

Namun, di sebalik semua kilauan populariti itu, beliau merupakan individu yang berprinsip dalam menjaga keseimbangan antara dunia seni dan kehidupan peribadi.

Baginya, menjadi selebriti bukan sekadar tentang kemasyhuran, tetapi tanggungjawab untuk sentiasa memberikan yang terbaik.

Setiap langkah dan pilihan yang dibuatnya membuktikan bahawa di sebalik glamor, berdiri seorang wanita berdedikasi yang sentiasa mencari peluang untuk berkembang dalam kerjaya dan kehidupan.

Meskipun telah menjadi ibu kepada dua cahaya mata, pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans itu tetap berpegang teguh kepada minatnya dalam dunia seni, malah tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang yang dicintainya.

Bagi aktres berusia 35 tahun itu, setiap wanita wajar mempunyai kerjaya atau hobi bagi mengelakkan masalah kesihatan mental.

JULIANA kini menjalani penggambaran filem Bisikan Dosa bersama Farid Kamil dan Uqasha Senrose.

“Saya tidak pernah meninggalkan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya malah merindui set penggambaran dan kawan-kawan.

Sebagai ibu, kita perlu menjadi diri sendiri. Saya juga melalui apa setiap ibu di luar sana lalui. Selepas melahirkan anak, hidup kita berubah sepenuhnya di mana fizikal dan mental berubah.

“Saya sedar keutamaan saya sudah berubah tetapi dalam masa sama, sebagai ibu dan wanita kita perlu mempunyai kerjaya serta sibukkan diri bagi menjaga kesihatan mental,” katanya kepada Pose.

Minat terus didukung, pelakon filem Mael Lambong itu bersyukur cinta hatinya, Tengku Shariffuddin Shah tidak pernah menghalang, bahkan memberi sokongan penuh terhadap kecintaannya terhadap arena lakonan.

Pun begitu, dia sendiri memilih memperlahankan karier seni demi memberi tumpuan kepada rumah tangga sejak lima tahun lalu.

“Suami saya memang selalu menyokong karier, dia tidak pernah sekali pun menghalang sebab dia tahu ini minat saya.

Saya sudah perlahankan karier seni sejak lima tahun lalu atas pilihan saya sendiri dan sudah tiba masanya saya kembali aktif.

“Sebelum ini saya pernah menjadi suri rumah dan menjaga anak-anak dan rutin saya setiap hari memang sibuk dengan mereka,” kongsinya panjang lebar.

Juliana mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Selangor itu pada 30 April 2017 dengan dikurniakan Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 5, dan Tengku Ihsan yang kini berusia setahun.

Mengulas perkembangan terkini, wanita tinggi lampai itu bakal muncul dalam filem pertama selepas melahirkan cahaya mata kedua tahun lalu berjudul Bisikan Dosa.

Sejak bergelar ibu saya memang memilih sebab memegang prinsip sendiri.

“Sekarang kalau berlakon saya akan pastikan sudah sedia dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Selain Juliana, filem arahan Faizul A. Rashid itu turut dibintangi Farid Kamil, Uqasha Senrose dan Sherry Merlis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok