MELECUR teruk akibat letupan tong gas domestik, penyanyi Syura Badron berharap suaminya, Muhammad Farizat Ismail terus kuat berdepan dugaan.
Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 38, berkata dia yakin semua yang berlaku mempunyai hikmah sekali gus menjadikan mereka insan lebih tabah.
Tetaplah kuat suamiku, supaya aku juga terus kuat dengan ujian ini. Kita diuji kerana Allah tahu kita mampu hadapinya.
Percayalah akan ada pelangi untuk kita nanti,” katanya menerusi perkongsian dalam InstaStory.
Menerusi video dikongsikan, kelihatan penyanyi Nazam Berkasih itu memeluk suaminya yang difahamkan sudah menjalani prosedur mencuci luka.
Sebelum itu Syura berkongsi video Muhammad Farizat memasuki bilik bedah dengan tangan, kaki dan bahagian muka berbalut.
Pada masa sama, Syura turut meluahkan kata-kata untuk sentiasa bersama lelaki dicintai itu sama ada susah mahupun senang.
“Tak mengapa sayang, kita lalui ujian ini bersama.
Janji dengan saya, awak akan sentiasa kuat dan saya akan selalu berada di samping awak. Sayang awak,” ujarnya.
Begitupun, usaha HibGlam mendapatkan maklum balas ibu kepada empat anak itu berkenaan perkembangan suaminya belum berhasil apabila panggilan serta mesej tidak dijawab.
Terdahulu, Syura memaklumkan suaminya dimasukkan ke hospital selepas mengalami luka lecur yang teruk di bahagian muka, kaki dan tangan.
Difahamkan insiden tong gas memasak itu berlaku sewaktu mereka berada di sebuah tempat penginapan di Perlis pada Jumaat lalu. – HIBGLAM